Salma, Thalia gegar tasik Shah Alam

Orang ramai menyaksikan persembahan tarian oleh pelajar-pelajar UiTM Puncak Alam di perkarangan Kedai Kopi, di Tasik Shah Alam. Foto: DIMENSI

Penampilan artis program realiti, Salma dan Thalia dalam program Lepak Seni di Tasik Shah Alam, di sini baru-baru ini berjaya memukau ratusan pengunjung yang hadir.

Salma yang melantunkan lagu berjudul Akhirnya Cinta tampil dengan berpakaian secara santai tetapi masih lagi mampu memberi satu persembahan yang mantap.

Persembahan yang penuh perasaan itu disampaikan dengan baik dan turut didengari oleh sebilangan besar  pengunjung yang berada di situ.

Kebolehan Salma dalam bidang nyanyian sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila lagu yang disampaikannya turut tercalon ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 32.

Persembahan dihangatkan lagi dengan aksi bertenaga  Thalia yang tidak kurang hebatnya dengan lagu barunya,  Diratah Hiba.

Pengunjung yang hadir bersama-sama menyanyikan lagu tersebut sambil melaungkan nama penyanyi kecil molek itu.

Persembahan kedua artis ternyata mengundang komen positif pengunjung yang bersantai bersama ahli keluarga dan rakan masing-masing.

“Pada mulanya saya hanya datang ke Tasik Shah Alam untuk beriadah, tetapi selepas mendengar nyanyian kedua-dua artis saya rasa begitu teruja,” kata Farah Al Amin.

Turut menjadi tumpuan pengunjung adalah persembahan tarian etnik daripada pelajar Sarjana Muda Seni Bina Landskap UiTM Puncak Alam.

Enama persembahan tarian yang menggabungkan unsur moden dan tradisional iaitu ‘aerodance’, zapin flashmob, silat tari semerah padi, asmaradana dan akhir sekali tarian murut daripada Sabah benar-benar menghiburkan orang ramai.

“Saya rasa amat kagum dengan kebolehan pelajar-pelajar tersebut kerana menyangka mereka daripada fakulti kebudayaan dan bukan seni bina landskap,” jelas pengunjung, Nurintan Suria. – DIMENSI/ ADLAN FARHAN AZWAN

RelatedPost