Peluang pendidikan kanak-kanak keperluan khas

Persekitaran yang kondusif di Headstart Academy menjadikan proses pembelajaran sentiasa menyeronokkan. Foto: DIMENSI

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas khususnya di Shah Alam, kini tidak perlu risau lagi memikirkan mengenai pendidikan golongan istimewa tersebut kerana ianya kini berada berdekatan dengan anda.

Headstart Academy (Headstart) yang baru memulakan operasi di SACC Mall pada Januari lalu menyediakan program intervensi awal, pemeriksaan dan penilaian kemajuan pelajar serta beberapa jenis terapi khas bagi kanak-kanak istimewa.

Menurut Pengarah Operasi Headstart, Charlene Fernandez , matlamat utama akademi ini adalah untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pelajaran bagi kanak-kanak istimewa di bawah satu bumbung.

“Setiap kanak-kanak yang mendaftar di akademi ini akan melalui proses pemeriksaan dan penilaian oleh ahli terapi kami untuk mengetahui masalah mereka supaya kami dapat membentuk satu modul pembelajaran khusus yang dapat membantu mereka mengatasi masalah tersebut,” kata beliau.

Akademi yang menggunakan khidmat tenaga pengajar dari pelbagai latar belakang pelajaran seperti jurusan pendidikan khas, psikologi, patologi dan sains kesihatan ini meraih kepercayaan ibu bapa untuk memberikan pendidikan khas buat anak-anak istimewa mereka.

Terletak di tingkat 3 SACC, pusat pendidikan itu memberikan fokus kepada kanak-kanak istimewa yang mempunyai gangguan spektrum dikenali sebagai autism.

“Autism Spectrum Disorder (ASD) tidak dapat dipulihkan, namun, program intervensi awal dapat mengajar mereka tentang perkara-perkara asas seperti mengira dan menulis.

“Beberapa modul pembelajaran disediakan bagi membantu kanak-kanak ini menguasai kemahiran tertentu sesuai dengan masalah yang dialami mereka,” katanya lagi.

Tambahnya, di Headstart pihaknya menerapkan konsep satu guru, satu murid bagi membantu pelajar mendapat pendidikan asas yang berkesan sekaligus memaksimumkan potensi mereka.

“Sepanjang operasi akademi ini, seramai 25 kanak-kanak istimewa telah mendaftar untuk menerima pendidikan di institusi ini dan selepas 12 minggu menghadiri kelas yang ditetapkan, mereka menunjukkan pelbagai perubahan positif dalam pelajaran mereka,” kata Charlene.

Seorang ibu kepada anak istimewa, Azida Abdullah, 46, berkata anaknya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran serta progres pergaulan yang baik selepas menyertai program anjuran Headstart. – DIMENSI/NADRAH NOOR AZIZAN RAHMAN

RelatedPost