Kucing Jalanan MY bela nasib kucing terbiar

Sukarelawan Kucing Jalanan MY sedang memberikan makanan kepada beberapa ekor kucing terbiar semasa program #ifeedstraycat baru-baru ini.

Sekumpulan anak muda dikenali Kucing Jalanan MY giat mengadakan aktiviti kesukarelawan dengan memberi makan kepada kucing terbiar di sekitar bandaraya ini.

Pengasasnya, Faidi Hashim berkata kewujudan kumpulan tersebut membuka ruang kepada orang ramai yang meminati mamalia itu untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti berfaedah terutamanya pada hujung minggu.

“Sejak penubuhannya pada tahun 2017, kumpulan ini berjaya mengumpulkan ratusan aktivis haiwan yang tersdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan.

“Selain itu, kami juga telah mengadakan banyak program dan inisaitif bagi menyelamatkan kucing jalanan melalui kempen di media sosial seperti Twitter dan Isntagram,” katanya kepada Dimensi.

Antara program yang mendapat sambutan memberangsangkan adalah #ifeedstraycats yang kemudian diberi nama #bagimakankucing di Sungai Besi, Setiawangsa dan Wangsa Maju.

Sementara di Shah Alam pula, Kucing Jalanan My telah menjalin kerjasama dengan sebuah persatuan pelajar di sebuah IPTA bagi menjalankan aktiviti sama.

Ditanya tentang sumber pendanaan, Faidi memberitahu pihaknya bergantung kepada  sumbangan orang ramai dan korporat yang menyokong usaha murni tersebut.

“Hasil daripada sumbangan tersebut sedikit sebanyak mampu membantu usaha kumpulan ini untuk memberi lebih banyak makanan kepada kucing-kucing jalanan.

“Saya menyeru agar masyarakat terus menyokong usaha ini kerana ia bukan sahaja dapat membela nasib kucing-kucing terbiar ini tetapi juga mendidik orang ramai supaya peka terhadap persekitaran mereka,” jelasnya. – DIMENSI/ IZHHARUDDIN ISHAK

RelatedPost