1,000 meriahkan temasya sukan ke-8 SKSA

Sebahagian daripada guru bergambar bersama maskot pasukan rumah Kuning semasa upacara perbarisan temasya sukan SKSA di Stadium Panasonic, baru-baru ini. Foto: DIMENSI

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Setia Alam (SKSA) kali ke-8 berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 1,000 pelajar, ibu bapa dan guru di Kompleks Sukan Negara Panasonic, di sini baru-baru ini.

Temasya sukan yang bermula pada 8 malam itu disertai empat buah rumah sukan iaitu Merah, Biru, Kuning dan Hijau yang bertanding dalam empat acara balapan larian 100 meter, 200 meter, 4×100 dan 4×200 .

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSA, Zairul Ermady Mohd Shahali, pencapaian dalam bidang sukan adalah sama pentingnya dengan pencapaian akademik.

“Dengan mengadakan kejohanan sukan di stadium yang serba lengkap ini, diharapkan dapat beri suntikan semangat, dorongan dan perasaan sebenar untuk beraksi di kejohanan yang lebih besar dan berprestij.

“Bukan itu sahaja, kejohanan sukan ini juga merupakan medan untuk anak-anak mencungkil bakat dan kebolehan dalam bidang sukan,” kata Zairul ketika berucap merasmikan acara tersebut.

Sementara itu, pemenang acara larian 200 meter tahun enam, Marshal Hashmat, berkata kejohanan sukan di sini berbeza dengan tempat kelahirannya, Afghanistan.

“Di sana (Afghanistan), kejohanan sukan diadakan di sekolah dan secara kecil-kecilan sahaja tapi di sini buat di stadium jadi agak istimewa sebab terasa macam di pertandingan yang sebenar,” jelasnya yang sudah dua tahun bersekolah di SKSA.

Acara turut dimeriahkan dengan perbarisan pasukan-pasukan bertanding yang menampilkan tema ‘Disney’ bersama maskot-maskot daripada produksi filem terkenal itu.

Gelaran olahragawan SKSA diberikan kepada Muhammad Haikal Syahruddin, tahun enam daripada rumah Biru manakala olahragawati pula diberikan kepada Nurmia Khaiyishah Mohaimin Azaini, tahun enam daripada rumah Hijau. Sementara, rumah Hijau dinobat sebagai juara keseluruhan. – DIMENSI/NURAINA NASIR

RelatedPost