PITSA aktif bantu ibu tunggal

Horyatuani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan Ziarah Kasih semasa kunjungan yang diadakan baru-baru ini. Foto: PITSA

Program kebajikan Ziarah Kasih anjuran Persatuan Ibu Tunggal Shah Alam (PITSA) merupakan satu langkah proaktif dalam mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu tunggal yang memerlukan di sekitar kawasan ini.

Pengerusi PITSA, Horyatuani Abdullah berkata program yang telah diketuainya sejak 10 tahun lalu pada tahun 2009 memberi fokus kepada golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan dari segi kewangan mahupun sokongan moral.

“Program ini diadakan hampir setiap minggu dan kami fokuskan akiviti kebajikan ini kepada ibu tunggal yang juga merupakan ahli persatuan.

“Tiap-tiap minggu kita akan berkunjung sekurang-kurangnya ke tiga buah rumah untuk melawat mereka yang memerlukan,” katanya kepada Dimensi baru-baru ini di sini.

Program tersebut bertujuan membantu golongan wanita agar tidak mudah patah semangat dalam mendepani cabaran bergelar ibu tunggal yang dilihat sering mendapat persepsi negatif daripada masyarakat luar.

Selain itu, aktiviti bercorak kemasyarakatan ini juga dapat merapatkan hubungan dalam kalangan ahli persatuan tersebut.

PITSA kini mempunyai hampir 800 orang ahli terdiri daripada ibu tunggal di sekitar bandaraya ini.

Mengulas lanjut, Horyatuani berkata setiap ibu tunggal yang dilawati akan menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan daripada PITSA.

“Dalam setiap lawatan, pihak kami akan menghulurkan bantuan wang tunai sebanyak RM100 dan barangan makanan kepada ibu tunggal terpilih.

“Kita tidak tetapkan hari untuk program seumpama ini. Jika ada kematian, kami akan terus ke rumah ahli yang terlibat untuk menziarahi keluarga arwah,” jelasnya.

Horyatuani juga berharap agar wanita yang bergelar ibu tunggal tidak berputus asa dalam membela nasib keluarga walaupun tanpa suami disisi.

Mereka juga dinasihatkan supaya bijak menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menjana pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada mana-mana pihak. – DIMENSI/ AFIQAH ROJALI  

RelatedPost