Haryati cekal tempuh dunia perniagaan

Aneka makanan yang ditawarakan di 'Cik Ya Dalam Taman' menjadikannya antara gerai tumpuan orang ramai yang berkunjung ke SCM. Foto: DIMENSI

Untuk memulakan satu perniagaan bukanlah mudah apatah lagi untuk mengekalkan satu perniagaan. Bagi Haryati Mohamed Haris, 41 tahun, pelbagai cabaran dan rintangan yang harus dilaluinya untuk terus kekal dalam dunia perniagaan.

Beliau yang mempunyai sijil London Chamber of Commerce and Industry (LCCI) dalam bidang perakaunan mempunyai sebuah gerai yang dinamakan ‘Cik Ya Dalam Taman’, terletak di kawasan taman Setia City Mall (SCM) yang menjual makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan yong tau fu, selain sebuah francais Uncle Bob’s Fried Chicken.

Tanpa sebarang ilmu dalam bidang perniagaan, beliau nekad untuk berniaga mengambil skim pemisahan sukarela (MSS) daripada bekas majikan pada tahun 2015.

Menggunakan gaji terakhirnya, wang tersebut disalurkan sebagai modal untuk menyewa tapak gerai di pusat membeli-belah tersebut.

Cabaran pertama yang harus dilalui wanita asal Felda Jengka, Pahang ini adalah untuk membayar kadar sewa yang tinggi yang dikenakan oleh pengurusan SCM.

“Saya akui sewa di sini agak mahal, satu khemah berharga RM 1000. Tambahan pula, sekarang ini saya juga ada lagi satu tapak di sini yang menjual produk Uncle Bob’s Fried Chicken di dalam kabin yang berharga RM 1500.

“Jadi, jumlah sewa yang saya perlu bayar setiap bulan adalah RM 2500 yang mana agak mahal bagi seorang peniaga yang hanya berniaga lapan hari sebulan,” jelasnya kepada Dimensi.

Namun, berkat ketekunan dan kesabarannya, perniagaan yang diusahakan secara sendirian itu mula menampakkan hasil apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Saya bersyukur apabila ramai pelanggan mula mengenali perniagaan saya dan bilamgannya semakin dari minggu ke minggu.

“Bukan senang untuk capai sasaran jualan sehari, terutama apabila hasil jualan bergantung kepada cuaca. Jika cuaca terlampau panas, orang ramai kurang berada di luar apatah lagi ketika hujan lebat, kadang-kala tiada hasil jualan langsung,” jelas ibu kepada tiga orang anak itu.

Kini, setelah tiga tahun, Haryati boleh menarik nafas lega kerana perniagaannya masih kukuh bertahan tatkala satu demi satu peniaga menutup perniagaan akibat kurang mendapat sambutan.

“Tindakan pihak pengurusan menyediakan persembahan busking setiap hujung minggu menyebakan hasil jualan saya semakin meningkat.

“Selain itu, saya juga mempelbagaikan produk jualan dengan mencuba pelbagai resepi baharu bagi menarik pelanggan ke gerai saya,” tambahnya yang memasang hasrat membuka cawangan pada masa akan datang.

“Saya berharap perniagaan ini boleh menjadi sumber pendapatan utama saya dan bukan lagi sumber pendapatan sampingan,” katanya dengan penuh berharap. – DIMENSI/ NURAINA NASIR

RelatedPost