Politeknik Shah Alam pupuk minat pelajar ke perpustakaan

Sebahagian daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan Math Traffic semasa program MELSCI di Shah Alam, baru-baru ini.

Politeknik Shah Alam (PSA) melancarkan program Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Inovasi Komputer (MELSCI) bagi menggalak dan memupuk minat membaca serta menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar.

Ketua Jabatan Pengajian Am, Zaid Junos, 52 berkata, program yang julung kalinya diadakan di PSA ini merupakan kerjasama antara pihak perpustakaan dan jabatan pengajian am bagi membudayakan amalan membaca di kampus mereka.

“Kewujudan MELSCI ini dapat meningkatkan capaian membaca di kalangan pelajar yang mana seiring dengan kempen hashtag mari membaca anjuran pihak perpustakaan.

“Program ini juga sebagai satu inisiatif yang berinovatif bagi pengembangan peranan perpustakaan PSA secara lebih strategik dan kontemporari sekaligus mewujudkan  perpustakaan yang dinamik,” katanya di sini.

MELSCI merupakan program dalaman anjuran institusi pengajian tersebut yang berlangsung dari 20 hingga 21 March 2019 lalu.

Untuk rekod, PSA mempunyai seramai 5,000 pelajar yang mengikuti 15 kursus peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, melalui program ini juga semua pelajar berpeluang mengambil bahagian dalam aktviti berdiskusi tentang buku pilihan dan juga pengalaman membaca.

Pengarah program MELSCI, Nariman Hj Daud berkata, terdapat banyak aktiviti yang dipertandingkan untuk menarik minat para pelajar ke perpustakaan seperti cabaran IQ, pertandingan matematik, debat, bercerita, pameran buku dan penciptaan inovasi berteraskan sains dan matematik .

“Budaya membaca ini perlu diterapkan kepada semua warga politeknik bagi merealisasikan impian menjadi politeknik contoh dalam menjayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat,”ujarnya. – DIMENSI/ NAZMIMI AISYAH AMRAN