Minuman berkarbonat, tenaga tingkat risiko kematian awal

Pengambilan minuman berkarbornat dan tenaga yang tidak terkawal boleh mengundang pelbagai komplikasi kesihatan. Foto: Warren Orthodontics

Orang yang meminum minuman berkarbonat dan minuman tenaga setiap hari dilihat mempunyai kebarangkalian untuk mati lebih awal akibat penyakit yang berpunca daripada masalah jantung dan kanser berbanding mereka yang jarang mengambil minuman tersebut, demikian dapatan sebuah kajian di Amerika Syarikat.

Minuman berkarbonat dan tenaga meningkatkan risiko kematian awal sebanyak 28 peratus, penyakit jantung (31 peratus) dan kematian disebabkan kanser (16 peratus).

“Lebih separuh daripada penduduk di Amerika Syarikat akan mengambil satu minuman manis dalam sehari.

“Cara untuk menjadi lebih sihat ialah menggantikan minuman manis dengan air kosong,” kata penyelidik pemakanan di Harvard T.H. Chan School of Public Health, Boston,Vasanti Malik.

Pengambilan minuman manis semakin meningkat di kalangan penduduk Amerika Syarikat dan seorang dewasa yang mengambil minumam manis akan mendapat sebanyak 145 nilai kalori sehari.

Menurut Vasanti, kajiannya tidak menunjukkan bahawa minuman manis adalah punca utama kepada kematian awal dan masalah kesihatan namun minuman manis memainkan peranan besar dalam kesihatan kita.

“Orang yang mengambil minuman manis akan lebih terdedah kepada penyakit berbahaya seperti diabetes, penyakit jantung dan banyak lagi,” tambahnya.

Pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan obesiti yang akan meningkatkan lagi risiko untuk seseorang diserang tekanan darah tinggi dan angin ahmar.

“Selalunya kanser yang disebabkan oleh pengambilan gula yang berlebihan ialah kanser payudara dan kanser kolon.

“Minuman manis perlu digantikan dengan minuman yang menggunakan pemanis tiruan. Walau bagaimanapun, keduanya patut dikurangkan. Menurut kajian, wanita yang mengambil empat atau lebih minuman yang menggunakan pemanis tiruan dalam sehari mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding yang lain,” jelasnya lagi.

Dalam satu kajian yang dijalankan ke atas 37,716 lelaki dan 80,647 wanita selama 34 tahun,  seramai 13,004 lelaki telah mati; 3,757 orang mati akibat masalah jantung dan 4,062 orang pula mati akibat kanser.

Bagi wanita pula, seramai 23,432 wanita telah mati termasuk 4,139 orang yang mati akibat masalah jantung dan 8,318 orang mati akibat kanser. Namun, lebih banyak kajian perlu dijalankan bagi mengesahkan penemuan ini.

Menurut penyelidik di Friedman School of Nutrition Science and Policy di Tufts University, Nicola McKeown, minuman manis yang mempunyai kandungan gula yang tinggi ini tetap tidak bagus untuk kesihatan.

“Pengambilan harian untuk minuman manis seperti air bikarbonat dan lain-lain perlu dikurangkan secara perlahan-lahan.

“Minuman manis tidak membawa apa-apa kebaikan,” tegasnya.

SUSUNAN: NURLYANA FARRAH MOHD JIMIE