Makan sambil bersantai di Kitchen Kraft

Kafe ini turut menyediakan kelas memasak untuk kanak-kanak pada setiap hujung minggu. Foto: Dimensi/Mohamad Arash Daniel Rashid

Selesa dan santai. Itu gambaran yang dapat diberikan penulis sebaik menjejakkan kaki ke Kitchen Kraft Kafe di Vista Alam, Jalan Ikhtisas 14/1, Shah Alam ini. Kafe yang diusahakan Nurul Nadhirah Chong bersama ahli keluarganya ini didekorasi dengan konsep santai persis berada di teratak sendiri.

Semasa menyusuri tangga ke tingkat dua bangunan ini pula, terdapat lukisan-lukisan comel pada dinding dan setiap anak tangga pula dicat dengan warna-warna yang berbeza membuatkan pengunjung terasa dialu-alukan.

Pokok-pokok dan rumput hiasan yang disusun rapi menaikkan lagi mood santai dan rasa ketenangan di jiwa. Sementara, penggunaan perabot meja dan kerusi kayu moden berwarna hitam memberikan sentuhan eksklusif di sudut tumpuan ramai.

Sambil menikmati secawan kopi, permandangan indah kota Shah Alam jelas kelihatan melalui jernih tingkap kaca yang besar dan luas di bahagian hadapan kafe. Justeru, kafe turut mendapat pencahayaan yang baik dek pancaran sinar semulajadi.

“Kami ingin kafe ini bersifat kejiranan serta mesra keluarga supaya pengunjung yang datang ke sini rasa tidak janggal malah rasa seperti berada di rumah sendiri.

“Kafe ini ideal dijadikan tempat bersosial kerana mempunyai banyak ruang kreatif dan interaktif seperti ruang makan, ruang belajar, ruang membuat kraftangan dan juga ruang bermain untuk kanak-kanak,” kata Nurul Nadhirah kepada Dimensi baru-baru ini.

Kafe yang dibuka pada 31 Mac 2017 ini adalah kemuncak kepada usaha tekun wanita berusia 39 tahun ini bersama keluarga yang sebelumnya hanya berniaga secara kecil-kecilan di rumah dengan mengambil tempahan kek.

“Di sini menyediakan bermacam-macam aneka juadah bersesuaian dengan cita rasa semua dari masakan tempatan, Thailand dan juga Barat dengan harga yang sangat berpatutan,” ujarnya yang menyediakan sendiri kesemua menu bersama keluarganya.

Setelah selesai mengisi perut, pelanggan boleh mengisi masa dengan aktiviti membaca buku, bermain permainan kad dan board game. Kesemua bahan boleh didapati di sebuah perabot putih di sudut berhadapan kaunter kafe ini.

Menurut wanita kelahiran Johor ini, kesemua permainan dan buku di sini merupakan koleksi peribadi mereka sekeluarga dan pengunjung digalakkan untuk menguna koleksi-koleksi tersebut dengan sebaik mungkin.

“Kami ingin para pengunjung untuk lebih menghargai masa lapang bersama keluarga dan rakan-rakan semasa berada di sini,” ujarnya.

Bagi memastikan keselesaan pelanggan, kafe ini turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti wifi, tandas dan surau yang luas serta selesa.

Tambah Nadhirah, kafenya turut menawarkan sepuluh peratus diskaun kepada pelajar yang berkunjung di sini.

Kitchen Kraft Kafe dibuka pada setiap hari kecuali Selasa dari 12 tengah hari hingga tujuh malam. Pada hari Jumaat dan Sabtu pula, kafe ini ditutup pada pukul 9 malam.

Dengan berkonsepkan santai dan mesra keluarga, kafe ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri bagi memikat hati setiap pengunjung yang hadir ke sini. – DIMENSI/ MOHAMAD ARASH DANIEL RASHID