PEMBINA tawan Denai Tiga Puteri

Peserta bergambar di puncak Denai Tiga Puteri, Hutan Simpan Kota Damansara, baru-baru ini.

Seramai 27 mahasiswa dari UiTM Shah Alam berjaya menawan puncak Denai Tiga Puteri di Hutan Simpan Kota Damansara, di sini baru-baru ini.

Pendakian kali pertama anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UiTM Shah Alam itu membabitkan 19 orang mahasiwa baharu dan diiringi lapan orang ahli persatuan.

Objektif pendakian ini  adalah untuk memperkenalkan PEMBINA kepada pelajar baharu dan mengeratkan ukhwah di samping beriadah sesama mahasiswa.

Ketua program, Ahmad Rahimi Selamat bersyukur kerana semua peserta yang terlibat berjaya sampai ke puncak dan terharu dengan semangat berpasukan serta kerjasama yang ditunjukkan dalam pendakian.

“Mereka sangat optimis untuk menyelesaikan pendakian tersebut meskipun kami menghadapi sedikit kesulitan untuk mencari jalan semasa permulaan,”katanya

Pendakian bermula pada jam 8.45 pagi di pintu masuk Hutan Simpan Kota Damansara dan mengambil masa dua jam untuk sampai ke puncak.

Sementara itu, bagi Syarizan, 20,dari Fakulti Sains dan Komputer, berasa amat gembira kerana memperoleh banyak pengalaman dan ilmu baru dari pengembaraan tersebut.

“Saya lebih bersemangat untuk sertai aktiviti pendakian lagi selepas ini,”katanya.

Manakala seorang lagi peserta, Firdaus Azlan, 20, berkata, dengan program sebegini, dia dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat di samping dapat menjaga kesihatan diri.

Kesemua peserta berjaya mengharungi segala rintangan pendakian dan selesai kira-kira 12.00 tengah hari.

Selain aktiviti pendakian, terdapat juga aktiviti lain setibanya di puncak iaitu sesi perkongsian daripada mahasiswa mengenai kehidupan di universiti dan sesi fotografi.

PEMBINA merupakan pertubuhan bukan kerajaan dan juga merupakan antara pertubuhan belia islam di Malaysia. Ditubuhkan pada September 2006 di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia, Kementerian  Belia dan Sukan Malaysia. – Dimensi