Acara Walk or Run 2.0 berlangsung meriah

Peserta larian mengadakan aktiviti memanaskan badan sebelum acara larian bermula.

Lebih 160 peserta mengambil bahagian dalam acara larian Walk or Run 2.0 anjuran Badan PEER Kaunselor (PEERs), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Padang Kawad, UiTM kampus Shah Alam, di sini baru-baru ini.

Selain peserta tempatan, program yang masuk tahun kedua penganjurannya turut berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa.

Pengarah program, Anis Nuranisya Shamsuddin, 22, berkata acara tersebut bertujuan mengumpul dana bagi sebuah program khidmat masyarakat anjuran pihaknya.

“Penganjuran aktiviti pada hari ini adalah sebahagian daripada strategi pendanaan bagi menjayakan program khidmat masyarakat tersebut.

“Selain itu, ia juga boleh dijadikan platform untuk mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar khasnya dan anggota masyarakat amnya,” jelasnya.

Lel Kipchichir, 24, pelajar pertukaran dari Nigeria tampil juara dalam acara larian kategori lelaki selepas mencatat masa satu jam 20 minit.

“Ini bukanlah kali pertama saya menyertai acara larian marathon di Malaysia. Namun, laluan yang disediakan adalah agak mencabar kerana jalan yang berbukit,” katanya yang mengambil  jurusan Sains dan Teknologi Makanan.

Juara bagi kategori wanita pula dimenangi oleh Nurfazleen, 18, yang berjaya menamatkan lariannya dalam tempoh satu jam 45 minit.

“Saya memang suka akan aktiviti seperti ini kerana jalinan kerjasama dapat diwujudkan sesama sendiri walaupun tidak mengenali. Ini penyebab saya lebih bermotivasi untuk meneruskan larian yang mencabar ini,” ujarnya. – DIMENSI/MULIA YASMINA HARMAN