Minuman tenaga undang komplikasi kesihatan kepada kanak-kanak, remaja

Kehadiran pelbagai jenama minuman tenaga berasaskan kafein di pasaran mengundang pelbagai masalah kesihatan kepada penggunan teruatamanya kanak-kanak. Foto: foodanddrinktechnology.com

TORONTO – Kanak-kanak dan remaja tidak perlu mengambil sebarang minuman tenaga ataupun minuman sukan dalam diet harian, demikian kenyataan Persatuan Pediatrik Kanada (CPS) yang dikeluarkan minggu lalu.

“Minuman tenaga, terutamanya yang mengandungi kafein boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan tidak sesuai untuk kanak-kanak dan remaja.

“Saya tidak akan mengesyorkan kepada sesiapun yang berumur di bawah 18 tahun untuk mengambil minuman tenaga,” kata Dr Catherine Pound, yang merupakan penulis bersama kenyataan tersebut dan yang juga pakar pediatrik di Hospital Kanak-Kanak Ontario Timur.

Jelas Pound lagi, kandungan kafein dalam satu tin minuman tenaga adalah lebih tinggi daripada kopi yang biasa disediakan di pasaran.

“Walaupun minuman tenaga berkafein dikatakan mampu untuk menambah tenaga, mengurangkan keletihan dan meningkatkan tumpuan, pengambilan berlebihan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada kanak-kanak.

“Kesan sampingan pengambilan minuman tersebut melibatkan kesukaran untuk tidur, menyebabkan keresahan, ketidak seimbangan degupan jantung, muntah-muntah dan cirit birit,” jelasnya.

Minuman sukan yang mengandungi campuran gula dan elektrolit biasanya dipasarkan sebagai pengganti kepada cecair dan bendalir di dalam badan ketika bersukan ataupun melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang berat.

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi pakar dari CPS , Becky Blair yang mendakwa minuman tenaga dan sukan juga boleh menyumbang kepada masalah kaviti dan obesiti dalam kalangan pengguna.

“Ianya hanyalah sumber kalori tambahan buat kanak-kanak yang tidak diperlukan oleh mereka.

“Apa yang mereka perlukan untuk proses hidrasi hanyalah air minuman dan mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang,” kata Blair yang ingin melihat adanya undang-undang untuk menghalang penjualan minuman tersebut kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Persatuan Akademi Pediatrik Amerika mula menyatakan penentangan mereka terhadap penggunaan minuman tenaga dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pada 2011. – canoe.com

Susunan: Naimmullah Jaya