Mualaf jual 1,000 kuih tart sehari

SEDAP... Farid mempamerkan beberapa jenis kuih tart yang dijual kepada pelanggan di sekitar Shah Alam. Foto: Danisyah Daliliy Akmal Shahian

Siapa sangka niat awal untuk belajar membuat kuih tart dengan seorang rakan akhirnya bertukar menjadi sumber pendapatan kepada lelaki mualaf ini.

Tetapi itulah yang dilalui Farid Ng Abdullah, 39, yang mampu menjual sekitar 1000 biji kuih tart sehari di sekitar Shah Alam.

Dia yang lebih dikenali sebagai Farid Heng mula mendapat perhatian sejak kisahnya tular di Facebook dua tahun lalu.

“Sebelum saya memeluk Islam, saya hanya bekerja sebagai seorang buruh. Jadi saya tidak mempunyai pengalaman berniaga dan tidak tahu cara untuk bercakap dengan pelanggan.

“Jadi, apa yang saya lakukan adalah mendekati pelanggan secara ikhlas dan sentiasa menghulurkan senyuman setiap kali berusan dengan mereka.

“Mungkin dengan cara itu ramai yang suka dan mula menjadi pelanggan tetap saya,” katanya.

Bermula tanpa sebarang tunjuk ajar daripada mana-mana pihak, anak jati Klang ini mengakui perjalanan selama tiga tahun lebih banyak mengajarnya erti jatuh bangun dunia perniagaan.

Mengutamakan kualiti dan ramuan terbaik, produk ‘homemade’ yang dihasilkan sememangnya menerapkan seni pembuatan masyarakat Cina yang terkenal dengan kehebatan dalam menghasilkan pelbagai produk berasaskan tepung.

Antara produk yang mendapat permintaan ramai adalah tart telur, tart coklat, tart buah, selain tart campuran berinti blueberry dan strawberry yang semenangnya telah lama terkenal.

Mengimbau kembali perjalanan perniagaanya, Farid memberitahu, semuanya bermula apabila dia didatangai seorang rakan yang mencadangkan supaya mereka berniaga secara kecil-kecilan.

“Satu hari dia (rakan) datang bersama satu resepi kuih tart dan mengajak saya untuk membuat kuih tersebut. Pada awalnya, rasa yang dihasilkan tidaklah seperti yang diharapkan.

“Sejak itu, kami mula mengkaji dan menambahbaik resepi tersebut sehinggalah kami yakin ia benar-benar sedap dan akhirnya membuat keputusan untuk menjualnya kepada pelanggan,” jelasnya.

Ditanya tentang rahsianya dalam menghasilkan kuih yang mempunyai rasa manis tersebut, Farid berkata, pengunaan telur ayam kampung yang terbaik adalah penting untuk mendapatkan rada kuih tart yang enak.

“Sering kali kita dengar tentang telur tiruan di pasaran yang pastinya memberikan kesan buruk kepada kesihatan pengguna.

“Oleh yang demikian, saya sangat berhati-hati dalam soal ini bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan,” tambahnya lagi.

Selain menjalankan perniagaan di sekitar Seksyen 2 dan Seksyen 7, Farid turut menggunakan media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Wechat sebagai medium pemasaran produknya.

Dia juga turut menerima tempahan untuk pelbagai majlis tanpa mengenakan cas untuk penghantaran. – DIMENSI/DANISYAH DALILY AKMAL SHAHIAN

Artikel Berkaitan