Ekunke arkitek Shah Alam Antlers

Okpe Solomon Ekunke. Foto: Shah Alam Antlers FC

Kempen Shah Alam Antlers FC (Antlers) dalam saingan AXA Liga Lembah Klang (KVL) M5 musim ini diperkuat dengan kehadiran import baharu dari Nigeria, Okpe Solomon Ekunke (gambar).

Pemain asal Lagos itu mula menyertai Shah Alam Antlers secara rasmi pada awal tahun ini, selepas menjalani beberapa sesi latihan dan perlawanan persahabatan.

Dia yang sudah berada di Malaysia sejak tahun 2011 pernah  beraksi bersama beberapa pasukan di Lembah Klang seperti KSS dalam Liga Kuala Lumpur Divisyen 1 dan Petaling Putera.

Pemain tengah berusia 26 tahun itu berkata, beliau menyertai kelab yang berpengkalan di Seksyen 21, Shah Alam itu kerana merasakan bahawa pasukan itu mempunyai potensi dan membantu meningkatkan kariernya ke tahap lebih tinggi.

“Pengurusan dan barisan kejurulatihan kelab ini sangat profesional dalam setiap perkara yang mereka lakukan dan ini pastinya menambahkan keyakinan saya dalam mengharungi setiap perlawanan,” ujarnya.

Ditanya tentang perlawanan pertama AXA KVL M5 menentang KL Gators tempoh hari, Ekunke jelas berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

“Kami mendapatkan kemenangan pertama di dalam SCL dan M5 kerana kami telah bermain dan bekerja keras sebagai satu pasukan dan bukannya individu serta kami bermain mengikut apa yang telah disuruh jurulatih Ariff.

“Kami juga sudah berlatih bersama untuk tempoh masa yang agak lama dan telah dipersiapkan sebagai satu pasukan yang mempunyai keazaman untuk bekerja keras dan memenangi setiap perlawanan” jelas beliau.

Musim ini, Antlers diletakkan di dalam kumpulan B bersama KL Gators, FC Serayan, CNA FC, Gombak FC, Revo FC, Level Up FC dan juga Ampang United.

Untuk rekod, anak buah Ariff Hashim itu berjaya mencatat satu kemenangan dan tewas sekali selepas dua perlawanan.-  Dimensi/ Ridhwan Rusydi Azri

Artikel Berkaitan