Masalah akhlak punca utama perceraian di Selangor

PERCERAIAN meninggalkan pelbagai kesan negatif kepada anggota keluarga yang lain terutamanya anak-anak yang tidak berdosa. Gambar hiasan. Foto: Vemale.com

Masalah akhlak menjadi punca utama perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negeri Selangor pada tahun 2017.

Statistik dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menyenaraikan masalah tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi dalam senarai teratas jenis aduan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa agama tersebut.

Menjelaskan perkara itu, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga JAIS, Mariyam Md Zin berkata, antara masalah akhlak yang mencatat bilangan aduan tertinggi adalah suka menyakiti hati pasangan iaitu sebanyak 973 kes.

“Sikap suka berbohong turut mencatatkan angka yang tinggi iaitu 897 kes; pasangan dilacur (792); suka berhutang (775); tiada rasa hormat (768); suka mengungkit (725) dan selalu menyalahkan pasangan (687).

“Selain kes-kes tersebut, terdapat 35 lagi jenis aduan berkaitan masalah akhlak yang dihadapi pasangan terbabit sehingga membawa kepada perceraian,” katanya kepada Dimensi ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Menurut kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2016, Selangor mencatatkan kes perceraian tertinggi di negara ini apabila merekodkan sebanyak 7,731 kes.

Kajian yang dijalankan bagi tempoh Januari hingga 10 Julai tahun berkenaan turut mendedahkan pasangan yang berkahwin kurang daripada tempoh lima tahun sebagai kumpulan yang paling ramai bercerai.

Mengulas lanjut, Mariyam berkata pelbagai inisiatif diperkenalkan pihaknya dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam di Selangor melalui pemantapan kualiti serta integriti setiap individu dalam keluarga seperti Modul Pasca Perkhawinan Islam.

“Modul berkenaan dibahagikan kepada empat fasa perkahwinan iaitu Fasa Bulan Madu bagi tempoh perkahwinan satu hingga lima tahun, Fasa Sehati Sejiwa (enam hingga 10 tahun), Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

“Modul-modul ini bertujuan menangani pelbagai isu berkaitan kemelut institusi kekeluargaan seperti perceraian yang semakin membimbangkan pada hari ini,” ujarnya. – Dimensi

Artikel Berkaitan