Robot kendali penjagaan warga emas di Jepun

Sekumpulan warga emas mengikut pergerakan yang dilakukan oleh robot yang dikenali sebagai Pepper di Pusat Jagaan Warga Emas Shin-tomi, Tokyo, baru-baru ini. Foto: aawsat.com

Tokyo – Penggunaan robot untuk menjaga warga emas agak sukar diterima di negara-negara Barat, namun masyarakat Jepun melihatnya dari sudut positif, sebahagiannya kerana ciptaan tersebut digambarkan sebagai mesra dan sangat membantu di dalam media popular.

Di pusat jagaan Shin-Tomi di Tokyo, sebanyak 20 model robot berbeza digunakan untuk menjaga dan menguruskan penghuni di situ.

Kerajaan negara matahari terbit itu berharap ia bakal menjadi model robot masa depan, memantapkan kepakaran robotik negara bagi mengatasi masalah peningkatan populasi warga emas dan kekurangan tenaga kerja di Jepun.

Selepas sesi latihan bersama SoftBank Robotics Corp’s Pepper, Kazuko Yamada, 84, berkata, kesemua robot yang ditugaskan untuk menjaga mereka sangat hebat dan mesra.

“Ramai yang hidup bersendirian ketika ini menjadikan robot sebagai rakan mereka,” katanya.

Pelbagai cabaran mungkin menghalang kewujudan robot penjagaan warga emas seperti kos yang tinggi, isu keselamatan dan keraguan tentang manfaat serta pengendalian teknologi tersebut.

Kerajaan Jepun telah membiayai pembangunan model robot tersebut bagi membantu menampung jangkaan kekurangan 380,000 pekerja khusus menjelang 2025.

Pengarah pejabat dasar robot di Kementerian Ekonomi menjangkakan negara-negara lain yang mengikuti trend yang sama, akan membuka peluang terhadap industri eksport yang menguntungkan.

Berdasarkan anggaran, Jerman, China dan Itali adalah antara negara-negara yang mengikuti dasar struktur populasi utama dan akan menghadapi cabaran yang sama tidak lama lagi. – aawsat.com

Artikel Berkaitan