TGDR tarik perhatian warga Ipoh

Peserta TGDR bergambar kenangan bersama penganjur dan orang ramai ketika program tersebut berlangsung di Ipoh, baru-baru ini.

Kehadiran sekumpulan jejaka tampan dan wanita jelita lengkap bersut sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi di  beberapa jalan utama di sekitar bandaraya Ipoh baru-baru ini, ternyata menarik perhatian penduduk tempatan yang jarang melihat senario tersebut.

Lebih memukau pandangan, kelibat penunggang tersebut berjaya menghidupkan kembali momen klasik yang pernah mewarnai ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Perak sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Demikian gambaran yang dapat dibingkaikan tentang konvoi kebajikan melibatkan sekumpulan sukarelawan dan pencinta aktiviti permotoran di negara ini, bulan lalu.

Program tersebut dianjurkan oleh sebuah kelab permotoran tempatan, Throttle Riots, dengan sokongan penuh oleh Perak British Classic Motorcycle Club (PBCMC) itu menerima lebih daripada 300 peserta yang menunggang motosikal klasik sambil memakai pakaian vintaj.

Bermatlamat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit kanser prostat, konvoi tersebut turut mengumpul dana untuk disalurkan ke tabung Movember Foundation bagi membantu pesakit kanser di negara ini.

“Kami memilih Ipoh sebagai tapak lokasi kerana ingin memberikan pendedahan kepada penduduk-penduduk di sini.

“Kami juga mendapati Ipoh merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai ramai penunggang motosikal vintaj dan klasik jadi dengan itu sokongan dan sambutan di sini agak memberangsangkan,” kata presiden Throttle Riots, Raja Susrina Raja Tan Sri Dato Khalid.

TGDR merupakan program antarabangsa diasaskan oleh Mark Hawwa dari Australia yang membabitkan penunggang pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi dan telah melebarkan sayapnya ke lebih dari 80 negara lain.

Di Malaysia, acara tersebut disertai lebih 1,500 pemilik motosikal klasik membabitkan sepuluh lokasi iaitu Kuala Lumpur, Johor Bharu, Melaka, Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, Miri, Pulau Pinang, Seremban dan Ipoh.

Tambah Raja Susrina lagi, peserta konvoi menempuh jarak perjalanan sejauh 23 kilometer membabitkan lima perhentian bermula di Bulatan Meru Amanjaya, sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Karat Cafe, Stesen KTM sebelum berakhir di MRoof Hotel.

Kehadiran selebriti terkenal tanah air, Mohd Azwan Md Nor atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok yang menunggang motorsikal model  Triumph Thruxton berjaya menarik perhatian orang ramai, sekali gus menambahkan kehangatan program.

Turut diadakan, beberapa acara sampingan seperti persembahan pentas secara langsung oleh band-band tempatan, gerai jualan, perhimpunan motor-motor klasik dan cabutan bertuah.

 

Sebanyak RM5,337.10 jumlah kutipan derma berjaya dikumpul bagi membantu pesakit kanser prostat dari ‘The Distinguished Gentleman’s Ipoh dan dana yang dikumpulkan akan diderma kepada sebuah organisasi ‘Movember Foundation’ diasas di Australia. – Dimensi

 

Artikel Berkaitan