Bahasa Melayu kembali diberi perhatian di Selatan Thailand

Masa depan bahasa Melayu di selatan Thailand dijangka kembali cerah selepas mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan tinggi di negara itu. Gambar: Unesco.org

Songkhla – Jika dahulu Bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa pemberontak tetapi kini ia mula mendapat perhatian kerajaan Thailand.

Buktinya, bahasa ini mula ditawarkan di beberapa institusi pengajian tinggi di negara gajah putih itu sebagai subjek teras mereka tanpa sekatan.

Kunjungan Dimensi ke negara tersebut baru-baru ini mendapati aktiviti memperkasa Bahasa Melayu giat dijalankan.

Kesempatan bertemu Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Thaksin, Muhammmad Salaebing  menyingkap pengalaman dan cabaran beliau dalam memartabatkan bahasa yang pernah diangkat sebagai lingua franca di Kepulauan Melayu suatu ketika dahulu.

Menurut Muhammad, Bahasa Melayu sebelum ini dianggap sebagai bahasa pemberontak oleh kerajaan Thailand dan setiap medium pembelajaran yang berasaskan Bahasa Melayu akan diteliti rapi oleh pihak tentera kerajaan Thailand.

Katanya, pendidikan Bahasa Melayu di negara gajah putih itu tidak sama dengan sistem yang dipraktikkan di Malaysia kerana pelajar kurang mendapat pendedahan yang meluas selain faktor persekitaran yang tidak mesra bahasa tersebut.

“Saya hanya fasih bertutur Bahasa Melayu selepas belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama tiga tahun di samping mendapat sokongan rakan-rakan sekuliah yang bertutur sepenuhnya dalam Bahasa Melayu,” kata Muhammad.

Tambahnya lagi, kemerosotan bahasa Melayu di Selatan Thailand banyak dipengaruhi dasar kerajaan pusat yang mewajibkan penggunaan bahasa Thailand dalam semua urusan kerajaan termasuk di sekolah dan universiti.

Kerajaan Siam yang menjadikan faktor asimilasi masyarakat dalam kawasan jajahannya di Selatan Thailand telah melenyapkan kuasa bahasa yang dituturkan lebih 80 peratus penduduk di empat wilayah Selatan Thailand itu.

Dasar pendidikan

Disamping itu, katanya, dasar pendidikan bahasa kerajaan Thailand menyebabkan bahasa Melayu dipecahkan mengikut fungsi sosial seperti nama orang dan tempat serta fungsi pendidikan.

“Dua fungsi tersebut adalah bertujuan bagi ‘mensiamkan’ orang-orang Melayu di Selatan Thailand dengan bangsa Thai dari semua segi kecuali bidang agama.

“Hal ini dapat dilihat secara jelas sehingga kini di mana nama tempat dan nama orang juga ditukar kepada Bahasa Siam seperti Singgora kepada Songkhla,” jelasnya lagi.

Bahasa Melayu dilihat kembali mendapat nafas baharu apabila pelbagai pihak tampil melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengembalikan semula martabat bahasa yang pernah menjadi bahasa rasmi ketika pemerintahan Kesultanan Melayu Pattani.

Antaranya penawaran kursus dan pengajian dalam bahasa Melayu di beberapa universiti di Selatan Thailand seperti Universiti Thaksin dan Prince of Songkhla University.

Tambah Muhammad lagi, setiap semester Universiti Thaksin menerima hampir 400 permohonan bagi program peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu yang ditawarkan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial universiti tersebut.

“Selain itu, pihak universiti turut mewajibkan semua pelajar lulus subjek Bahasa Melayu sebagai syarat tamat pengajian mereka.

“Bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu mereka, pelajar juga digalakkan mengadakan latihan industri di Malaysia selama lima bulan, selain menyertai pelbagai aktiviti kesekarelawan yang dapat memberikan pendedahan berterusan kepada mereka,” ujarnya. – Dimensi

 

 

 

 

Artikel Berkaitan