Iklim pengaruhi bentuk hidung manusia

Hidung manusia mempunyai ciri-ciri khasnya yang tersendiri sama ada besar, kecil, luas atau sempit.

Para saintis kini mengkaji beberapa faktor yang mendorong evolusi hidung manusia.

Para penyelidik mengemukakan satu kajian yang menggunakan imej tiga dimensi yang melibatkan ratusan orang dari Asia Timur, Asia Selatan, Afrika Barat dan Eropah Utara yang menunjukkan iklim tempatan, khususnya suhu dan kelembapan memainkan peranan penting dalam pembentukan hidung manusia.

Menurut penyelidik, penduduk di kawasan yang mempunyai iklim yang hangat dan lembab mempunyai hidung yang lebih luas. Manakala, penduduk di kawasan iklim sejuk dan kering mempunyai hidung yang lebih sempit.

“Fungsi utama hidung adalah untuk bernafas dan menghidu. Terdapat lendir dan kapilari darah di dalam hidung yang membantu memanaskan serta melembabkan udara yang disedut sebelum mencapai bahagian sensitif saluran pernafasan.

“Mempunyai lubang hidung yang sempit dapat meningkatkan interaksi di antara udara yang dihidu serta tisu di dalam hidung yang boleh membawa kelembapan dan haba,” kata penyelidik utama jurnal yang diterbitkan PLOS Genetics, Arslan Zaidi.

Kajian bertajuk ‘Investigating the case of human nose shape and climate adaptation’ turut mendapati individu yang memiliki lubang hidung sempit mungkin dapat menghasilkan lebih banyak zuriat daripada mereka yang mempunyai lubang hidung yang lebih luas di kawasan yang sejuk dan kering.

Penemuan ini secara umum menyokong kenyataan Hukum Thomson bahawa mereka yang tinggal di kawasan beriklim sejuk dan kering lebih cenderung mempunyai hidung lebih panjang dan lebih mancung berbanding mereka yang tinggal di kawasan iklim panas dan lembap.

Arslan berkata bukti paling berharga mengenai hokum tersebut adalah dari pengukuran tengkorak, manakala kajian ini lebih diperluaskan dengan melakukan analisis terhadap bentuk hidung.

Para penyelidik mengkaji lebar hidung, lebar lubang hidung, ketinggian hidung, panjang tulang belakang hidung, hujung tunjang hidung, kawasan permukaan luaran dan keluasan lubang hidung.

“Apa yang kami dapati adalah hipotesis yang mudah mengenai hidung yang mempunyai sejarah evolusi yang begitu kompleks, di mana banyak perkara yang kita tidak ketahui,” jelas Arslan. – Dimensi

Artikel Berkaitan