Kenali fobia sosial

CELARU... penghidap fobia sosial sering berasa cemas ketika berada dalam khalayak ramai. Gambar: Anxiety Disorder Treatment Centers Arizona

Setiap kali diminta menghadiri mesyuarat, perasaan gemuruh dan berdebar pasti akan menyelubungi Irma (bukan nama sebenar), seorang kakitangan eksekutif muda sebuah syarikat perkapalan di ibu negara.

Dia yang telah lima tahun bertugas di syarikat tersebut memberitahu, keadaan tersebut bertambah teruk apabila dia dikehendaki membentangkan laporan kepada ahli mesyuarat.

“Saya rasa tidak senang duduk apabila diperhatikan oleh orang ramai dan sekiranya tekanan itu gagal dikawal, saya mula menggigil ketakutan,” katanya merujuk kepada masalah yang hampir mendorong dia melepaskan jawatan tahun lalu.

Perasaan tertekan yang dihidapi Irma ini sebenarnya berkait rapat dengan satu penyakit mental iaitu fobia sosial atau anxiety disorder dalam bahasa saintifik,  yang kian merebak secara senyap dalam masyarakat kita.

Menurut Pakar Klinikal Psikologi, Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai, Dr. Azlina Wati Nikmat, fobia sosial merujuk kepada perasaan takut dan resah gelisah yang melampau apabila seseorang itu berada di dalam situasi sosial yang memerlukan mereka berinteraksi dengan orang lain.

“Ia juga berpunca dari perasaan takut dikritik atau dinilai secara negatif dan ini merupakan penyakit mental yang ketiga tertinggi di dunia dan dianggarkan tujuh daripada 100 individu menghidapinya.

“Kes buli, konflik keluarga, pengalaman dimalukan di khalayak umum serta penderaan seksual yang mungkin pernah dialami masa lalu juga mampu memberi impak kepada individu terbabit dalam menjalani kehidupan harian,” tambahnya.

Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Oktober 2017, terdapat lebih 260 juta penghidap fobia sosial di seluruh dunia.

Gejala fizikal

Mengulas lebih lanjut mengenai simptom yang dialami individu yang menghidap fobia sosial, Azlina Wati berkata ia dapat dilihat dari aspek fizikal, emosi dan tingkah laku.

“Gejala fizikal yang dapat diperhatikan pada orang yang fobia sosial adalah ketara seperti mual, berpeluh yang keterlaluan, menggigil, kesukaran bercakap dan bernafas, ketegangan otot, pening dan peningkatan denyutan jantung.

“Mereka juga turut mengalami perasaan bimbang yang teramat dalam situasi sosial seperti ketika membeli-belah dan ia berlanjutan selama beberapa hari atau minggu sebelum perkara tersebut berlaku.

“Justeru, golongan ini akan cuba mengelak daripada berada di dalam situasi berkenaan kerana perasaan takut untuk berinteraksi dengan orang sekeliling,” jelasnya lagi.

Tambahnya, gejala lain yang dapat dikesan adalah menerusi perasaan bimbang jika seseorang itu melakukan sesuatu yang memalukan diri dan khuatir sekiranya tekanan dan perasaan gelisah mereka disedari oleh orang lain.

Beliau berkata, terdapat perbezaan antara fobia sosial dan rasa malu biasa. Perasaan malu merupakan perkara biasa kepada manusia normal.

“Sifat malu tidak menghalang orang itu daripada menjalani kehidupan seharian seperti biasa dan ia berbeza dengan fobia sosial yang mengganggu rutin harian, pekerjaan dan aktiviti normal.

“Mereka ini cenderung untuk menyembunyikan masalah yang dihadapi bagi mengelakkan stigma dan diskriminasi daripada masyarakat sekeliling,” ujarnya.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh membahayakan pesakit dan mereka boleh dilanda kemurungan dan seterusnya meningkatkan risiko bunuh diri.

Cara rawatan

Azlina Wati memberitahu, antara rawatan yang boleh digunakan bagi menangani fobia jenis ini ialah menerusi pengambilan ubat, rawatan psikologi dan perubahan gaya hidup yang lebih sihat.

“Ubat-ubatan seperti Beta blockers, anti-kemurungan (Antidepressants) dan Benzodiazepines boleh diambil untuk mengawal simptom fizikal yang dialami oleh individu itu.

“Sementara rawatan psikologi seperti cognitive behaviour therapy (CBT) membantu pesakit mengawal simptom fizikal melalui teknik relaksasi dan pernafasan manakala simptom emosi pula dikawal dengan menanam pemikiran yang lebih positif dan rasional. Individu tersebut juga akan dilatih untuk berdepan dengan situasi sosial secara berperingkat.

“Amalan gaya hidup sihat seperti mengurangkan pengambilan kaffein, tidur yang cukup, bersenam dan berhenti merokok turut disarankan bagi membantu pesakit menjalani kehidupan sosial yang normal.

Berbicara tentang tempoh rawatan pula, ia bergantung pada tahap keterukan fobia itu sendiri dan ini berbeza antara setiap pesakit.

“Seseorang perlu mendapatkan rawatan secara berkala dan secara purata rawatan psikologi (CBT) perlu dilakukan sebanyak 12 hingga 15 sesi untuk sembuh.

“Jika diperinci secara peratusan, lima peratus hingga 39 peratus orang yang mengalami fobia sosial tidak pernah mendapatkan rawatan dan saya sarankan golongan ini untuk beranikan diri dan segera berjumpa doktor, kaunselor atau ahli psikologi,” katanya – Dimensi

Artikel Berkaitan