Kekangan dana, masa tak halang kemeriahan SCRL17

Pemain dan pegawai pasukan RT Warriors meraikan kejayaan menjulang piala kejuaraan Liga Ragbi Komuniti Negeri Selangor 2017 (SCRL17) di padang SK TTDI Jaya, Shah Alam. Gambar: Dimensi/Nur Ramieza

Kekangan dana dan masa tidak menghalang kemeriahan penganjuran Liga Ragbi Komuniti Negeri Selangor 2017 (SCRL17) yang berakhir baru-baru ini.

Pengarah Teknikal Penyertaan Liga Ragbi Komuniti Selangor, Ahmad Nizam Mohd Sabri berkata, kekurangan dana menyebabkan pihak penganjur terpaksa berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan sepanjang kejohanan berlangsung.

Katanya, antara aspek utama perbelanjaan yang diberikan perhatian oleh pihak penganjur adalah kos sewaan padang, hadiah kemenangan dan pengadil.

“Kos sewaan padang adalah sebanyak RM2,000. Jumlah hadiah kemenangan bagi pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga beserta piala ialah RM 3400.

“Mengambil kira kos tersebut, pihak kami sentiasa berhemah bagi memastikan dana yang diperoleh diagih secara betul bagi memastikan liga berjalan lancar,” jelasnya yang juga Presiden Kelab Ragbi Shah Alam (SARC).

Salah seorang peserta Nazmi, 25, yang mewakili pasukan Seven Old Boys Rugby Alumni (SEVORA) menyatakan ada sesetengah pasukan mengalami masalah kekurangan jersi.

“Jersi untuk sukan ragbi adalah sangat mahal. Justeru itu, ada sesetengah pasukan yang terpaksa meminjam jersi daripada pasukan lain untuk bermain,” katanya.

Dia yang menyertai liga tersebut pada tahun lalu turut menyatakan bahawa sokongan orang ramai khususnya ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan liga tersebut terus dianjurkan pda masa akan datang.

Selain masalah dana, beberapa pasukan bertanding turut behadapan dengan masalah kekangan masa. Antaranya pasukan RT Warrior yang dibimbing, Shahizan Tukirin.

Menurut Shahizan, jadual perlawanan yang melibatkan hari bekerja menyukarkan pasukannya untuk mengumpul pemain yang rata-ratanya sudah bekerja.

“Disebabkan terdapat pemain kami ada yang sudah bekerja dan masih belajar, kami perlulah bijak melakukan sistem pertukaran pemain agar masalah seperti kecederaan dan kekurangan pemain dapat dielakkan,” menurutnya yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan.

Liga Ragbi Komuniti Negeri Selangor 2017 (SCRL17) berlangsung dari 26 hingga 30 September 2017. Sebanyak 16 pasukan dari seluruh negeri Selangor menyertai edisi kedua pada kali ini.

Penganjuran liga ini memberi peluang kepada pemain amatur dan semi-professional untuk mengasah bakat mereka. Selain daripada itu, liga ini juga dapat mengetengahkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tertinggi.

Perlawanan final pada tahun ini menyaksikan RT Warriors muncul juara selepas mengenpikan cabaran juara edisi 2016, SEVORA dengan mata 20-7. – Dimensi

Artikel Berkaitan