China kaji haram kereta petrol, diesel

China sedang mengkaji masa untuk menghentikan penjualan kereta menggunakan bahan bakar tradisional. Gambar: REUTERS/Stringer)

BEIJING – China mula mengkaji pengharaman pengeluaran dan penjualan kereta menggunakan bahan bakar tradisional, kata agensi berita rasmi Xinhua yang memetik komen oleh Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat, Xin Guobin.

Xin tidak memberitahu bila China, pasaran kereta terbesar di dunia, akan melaksanakan pengharaman itu. United Kingdom dan Perancis telah mengumumkan pengharaman kereta petrol dan diesel bermula dari tahun 2040.

“Beberapa negara telah membuat garis masa untuk menghentikan pengeluaran dan jualan kereta menggunakan bahan api tradisional,” kata Xin dalam majlis industri auto di bandar Tianjin.

“Kementerian juga telah memulakan penyelidikan yang relevan dan akan membuat garis masa dengan jabatan-jabatan yang berkaitan. Langkah-langkah itu akan membawa perubahan mendalam bagi pembangunan industri kereta kita,” katanya.

Bagi memerangi pencemaran udara dan menutup jurang persaingan antara pembuat kereta domestik dan saingan global mereka, China telah menetapkan sasaran untuk membuat sekurang-kurangnya satu perlima jualan kereta hibrid elektrik dan plug-in menjelang 2025.

China merupakan pengguna minyak kedua terbesar di dunia dan larangan penjualan kereta petrol dan diesel akan memberi impak yang besar kepada permintaan minyak.

Petroleum utama negara, China National Petroleum Corp (CNPC) berkata permintaan tenaga China akan meningkat pada 2040, lebih lewat daripada tahun jangkaan sebelum ini, 2035.

Memetik laporan Xinhua, pegawai Kementerian Kewangan, Song Qiuling, berkata bahawa subsidi kerajaan untuk industri auto tenaga baru boleh disalahgunakan jika diberi tempoh yang lama.

Beliau berkata China akan secara beransur-ansur menarik balik subsidi kewangan untuk sektor itu dan sebagai ganti, mempercepat penubuhan dasar pengumpulan kredit untuk menyokong industri itu.

Sumber berkata, di bawah cadangan terbaru, 8 peratus daripada jualan kereta akan menjadi model hibrid elektrik atau plug-in pada tahun depan, 10 peratus pada tahun 2019 dan 12 peratus pada tahun 2020, tetapi peraturan itu tidak akan dikuatkuasakan sehingga 2019, setahun kemudian daripada yang  dirancangan pada awalnya. -REUTERS

Artikel Berkaitan