Anjing bantu kanak-kanak dyslexia fokus sesi pembelajaran

Murid-murid sedang diajar cara untuk membina kepercayaan dengan seekor anjing. Gambar: Moon Hall School

SURREY – Murid-murid di sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak dyslexia telah diberi cabaran untuk melatih beberapa ekor anjing dalam usaha menambahbaik fokus mereka ketika sesi pembelajaran.

Anjing-anjing baka spaniels dari The Gundog Company telah melawat murid-murid di Moon Hall College semasa cuti musim panas dan mereka diberikan tugas untuk menjaga dan melatih haiwan tersebut sehinggalah haiwan berkenaan peka dengan arahan melalui bunyi tiupan wisel.

Seorang pembantu guru. Gerry Williams, menerangkan bagaimana anjing boleh membantu kanak-kanak yang menghidap dyslexia.

“Teori di sini adalah, kanak-kanak dyslexia ini sedar bahawa anjing jagaan mereka memerlukan arahan untuk membuat mereka patuh, dan ini membolehkan mereka berlatih bercakap dan berinteraksi.”

Beliau berkata lagi, dalam memastikan anjing jagaan mereka mendengar arahan dengan tepat, ini secara tidak langsung menggalakkan kanak-kanak untuk fokus dan memberi perhatian terhadap apa yang mereka sedang lakukan.

“Latihan ini juga membantu kanak-kanak meningkatkan keyakinan mereka dalam memberi arahan dan percakapan, dan ini mendorong mereka untuk belajar, bercakap dan mendengar didalam kelas”, jelas Gerry lagi.

Sekolah ini menempatkan lebih kurang 45 orang murid berusialingkungan umur 7 hingga 11 tahun yang kesemuanya telah didiagnos dengan dyslexia.

Antara ciri-ciri orang yang menghidap dyslexia adalah, sukar untuk mengikut arah hala tuju, memahami maklumat yang ditulis atau merancang jadual masa.

Penyakit tersebut yang dijangka dihidapi oleh 5% hingga 10% penduduk UK, akan menimbulkan masalah dengan kebolehan seperti membaca, menulis dan mengeja.

Gerry yang membantu menguruskan murid-murid Tahun 3, 4, 5 dan 6 melatih anjing-anjing berkenaan berkata, semua kanak-kanak tersebut gembira menghabiskan masa dengan haiwan berkenaan. – Get Surrey

Artikel Berkaitan