Hospital benar kanak-kanak ‘pandu’ kenderaan ke bilik pembedahan

Dr. Daniela Carvalho mengawal kereta kawalan jauh dinaiki Jonathan Jauregui, 7, ke bilik pembedahan di Hospital Kanak-kanak Rady. Gambar: REUTERS/Mike Blake

LOS ANGELES – Sebuah hospital kanak-kanak di San Diego melancarkan koleksi kereta mewah kawalan jauh yang membolehkan pesakit ‘memandu’ diri mereka ke bilik pembedahan, Selasa lalu.

Kesemua kereta di Hospital Kanak-kanak Rady tersebut sebenarnya dikendalikan oleh jururawat atau doktor, dan merupakan sebahagian daripada program baru yang diperkenalkan untuk memberi ketenangan kepada kanak-kanak yang bakal menjalani pembedahan.

“Kanak-kanak akan dapat merasai keseronokannya dan ibu bapa pesakit akan melihat mereka lebih tenang dan gembira”, kata Pengarah Perubatan bagi Perkhidmatan Pembedahannya, Dr Daniela Carvalho.

Jelas Dr. Carvalho lagi, kereta tersebut disumbangkan oleh badan kebajikan dikenali ‘Teddy Bear Drive’ di wilayah San Diego.

Pesakit diberi pilihan untuk menentukan jenis kereta yang ingin dinaiki seperti BMW, Mercedes atau Lamborghini bagi memastikan perjalanan mereka ke bilik pembedahan adalah sesuatu yang mewah. -REUTERS

Artikel Berkaitan