Slide the City 2017 kini di Shah Alam

Salah seorang pengunjung meluncur di atas gelongsor air gergasi semasa penganjuran Slide the City di Putrajaya. Gambar: Slide the city

Siri jelajah ‘Slide the City 2017’ meneruskan kembaranya di Malaysia dengan memilih Shah Alam sebagai lokasi persinggahan seterusnya.

Bermula 30 September sehingga 29 Oktober, festival air tersebut memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri pengalaman menggelongsor di atas jalan menerusi gelongsor air gergasi sepanjang 128 meter (m) dari ketinggian tujuh meter.

Menjadikan perkarangan letak kenderaan Pusat Konvensyen Setia City (SACC) sebagai venue penganjuran, Slide the City 2017 dibuka kepada pengunjung mulai jam 5 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat, manakala waktunya lebih panjang pada hujung minggu iaitu 9 pagi hingga 12 malam.

Selain acara utama tersebut, pengunjung turut dihidangkan dengan pelbagai tarikan lain seperti persembahan muzik, gerai jualan dan trak makanan.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada tahun 205 beberapa lokasi di Malaysia seperti Kuantan, Johor Baharu, Melaka dan Putrajaya pernah menjadi hos kepada acara tersebut.

Di peringkat antarabangsa, Slide the City adalah acara gelongsor air yang menjadi fenomena di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Korea Selatan dan China berikutan kelainan meluncur di atas jalan raya.

Orang ramai yang berminat mengunjungi festival ini boleh mendapatkan tiket secara atas talian di laman web rasmi di www.slidethecity.asia atau di kedai serbaneka 24 jam 7-Eleven terpilih di sekitar Lembah Klang.

Tiket-tiket dijual pada harga RM96 untuk VIP, RM59 (VIP kanak-kanak), RM39 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak).

Harga istimewa turut diberikan kepada ahli AirAsia Big, Travelog dan juga Wonderfly.

Sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan.

Dianggarkan kira-kira 700,000 pengunjung bakal mengunjungi festival pada kali ini. – Dimensi

Artikel Berkaitan