Skuad PANTAS MBSA siap siaga 24 jam di musim perayaan

SHAH ALAM: Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa bersiap siaga untuk dikerahkan sekalipun ketika musim cuti perayaan Aidilfitri.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pasukan berkenaan beroperasi 24 jam sepanjang masa dengan 15 anggota bertugas pada setiap giliran.

Katanya, terdapat tiga gilian ditetapkan iaitu pertama bermula jam 8 pagi hingga 4 petang, giliran kedua 4 petang hingga 12 malam dan giliran ketiga bermula jam 12 malam hingga 8 pagi.

“Sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini, anggota pantas MBSA bekerja seperti biasa dan sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya berlaku bencana dan malapetaka di kawasan MBSA.

“Ia termasuk kejadian seperti banjir, pokok tumbang, tanah runtuh dan sebagainya agar ia dapat ditangani dengan cepat dan efisyen,” katanya kepada SelangorKini.

Shahrin berkata, MBSA sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan dan kesenangan masyarakat yang tinggal di kawasan pentadbirannya.

“Kami sentiasa bersedia 24 jam, tujuh hari seminggu dan sepanjang tahun untuk kesejahteraan penduduk Shah Alam.

“Apapun, kami berharap agar musim perayaan tahun ini lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Untuk sebarang aduan atau maklumat, orang ramai boleh hubungi bilik pasukan PANTAS di talian 03-55105811 yang beroperasi 24 jam.- SELANGORKINI

Artikel Berkaitan