Pelawak perlu berhati-hati, jaga mulut

Man Raja Lawak (kiri) dan Wan Gagau (kanan). Gambar- Instagram

Shah Alam: Untuk terus kekal dalam industri, seseorang pelawak perlu sentiasa berfikiran jauh dan menjaga mulut terutamanya dalam menyampaikan lawak mereka.

Demikian pandangan yang dilontarkan dua pelawak meningkat naik, Man Raja Lawak dan Wan Gegau saat mengulas kontroversi dicetuskan seorang pelawak baru-baru ini.

Menurut Man Raja Lawak, setiap pelawak itu perlu membuat kajian terlebih dahulu mengenai topik yang ingin disampaikan kerana pelawak-pelawak sekarang kebanyakannya sering cakap lepas dan orang ramai akan beranggapan mereka ini tidak ada ilmu.

Tambahnya lagi, lawak-lawak yang berunsurkan lucah, double-meaning, keagamaan mahupun berkaitan politik haruslah dielakkan bagi menjaga sensitiviti masyarakat.

Pendapat sama turut dibangkitkan Wan Gegau yang melihat kontroversi tersebut sebagai ikhtibar terbaik kepada artis komedi lain.

Katanya, setiap pelawak harus tahu batas-batas sebagai seorang pelawak,  pemilihan bahan jenaka dan apa yang tidak digemari orang ramai.

“Tidak dinafikan ada segelintir pelawak lain yang membuat lawak secara spontan dan tidak bertapis lawaknya dan ini menjejaskan kredibiliti pelawak yang lain di mana orang akan berkata pelawak itu suka cakap lepas tanpa berfikir dahulu.

“Lawak bukanlah suatu yang boleh kita hentam kromo sahaja, sebaliknya lawak itu perlu ada susur-galur mengenai apa yang perlu dilawakkan dan apa yang melibatkan sensitiviti orang ramai harus kita elakkan,” tambah Wan lagi.

Tambah Wan, pelawak mempunyai kumpulan pengikut sendiri terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru katanya, mereka perlu bijak menggarap persembahan supaya sentiasa menampilkan elemen positif dalam lawak yang boleh dicontohi peminat.

“Lihatlah pelawak dahulu seperti kumpulan Senario yang menjadi ikutan popular, mereka sentiasa menampilkan mesej dan teladan yang baik di setiap penhujung sketsa mereka dan itulah matlamat yang perlu ada bagi setiap pelawak.

Dalam insiden yang berlaku pada 20 Mei 2017 itu, pelawak Azizul Ammar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Ammar Titan telah mempersendakan nama bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek ketika mengacarakan program komedi yang disiarkan sebuah stesen televisyen swasta.

Susulan kejadian tersebut, pihak produksi yang menerbitkan program itu telah menggantung khidmat Ammar dan enam kru penerbitan tanpa tempoh dinyatakan berkuat kuasa serta-merta. Selain itu, program tersebut turut ditamatkan siarannya. – DIMENSI

 

Artikel Berkaitan