11,200 pegawai,anggota JBPM bertugas

Tan Sri Noh Omar, ketiga dari kiri, melancarkan Ops Raya 2017.Gambar- DIMENSI

Shah Alam: Seramai 11,200 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan bertugas selama 24 jam secara bergilir sepanjang cuti perayaan ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata jumlah tersebut mewakili 80 peratus anggota dan pegawai dari 284 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara.

JBPM akan mengadakan Ops Raya 2017 dengan kerjasama bersama agensi-agensi yang lain selama 15 hari bermula dari 18 Jun 2017 sehingga 2 Julai 2017.

“JBPM akan menempatkan pegawai-pegawainya di 19 lokasi strategik, 15 di sepanjang Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) dan manakala 4 lagi di Lebuhraya Pantai Timur (LPT)” kata Tan Sri Noh Omar.

Pegawai-pegawai yang di tempatkan di lokasi yang tersebut bertujuan agar bantuan kecemasan dapat diberikan dengan lebih cepat dan mengambil masa yang singkat untuk penyelamat bertindak ke lokasi kejadian.

Menurut Tan Sri Noh Omar, 19 lokasi panas pegawai di tempatkan mempunyai jarak yang beranggaran mengambil masa selama 10 minit ke 20 minit ke lokasi jika berlakunya kemalangan.

Satu unit jentera serta kekuatan tujuh orang pegawai dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama-sama tiga pegawai akan di tempatkan di lokasi tersebut sepanjang Ops Raya pada tahun ini.

Dalam pada itu, JBPM menasihati orang ramai supaya menitik beratkan aspek-aspek keselamatan sebelum pulang beraya, seperti memastikan suis utama elektrik kediaman dimatikan dan perkakasan elektrik yang tidak digunakan dicabut dari soket.

Berdasarkan statistik JBPM sebanyak 2,005 kes daripada 49,875 kes dilaporkan berpunca daripada litar pintas.

“Orang ramai juga dinasihati untuk menyediakan alat pemadam api yang bersesuaian di dalam kenderaan, ini sebagai langkah awal keselamatan,” kata Noh Omar di pelancaran Ops Raya JBPM 2017.

Sepanjang musim perayaan ini, JBPM akan mewujudkan pos bomba di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai di seluruh negara, ini untuk memastikan tempat awam selamat dan bebas daripada ancaman kebakaran. – DIMENSI

 

Artikel Berkaitan