OAG terus unggul 25 tahun

OAG yang menjadi kegilaan anak muda di awal kemunculannya sekitar tahun 90an. Gambar: The Star

SHAH ALAM: Bagi penggemar muzik alternatif rock tempatan, nama Old Automatic Garbage atau lebih popular dikenali sebagai OAG bukanlah asing malah mereka juga dilabel antara band terawal yang berkecimpung dalam arena muzik “underground” pada awal tahun 1990an.

OAG pada awal kemunculannya sekitar tahun 1992 dianggotai oleh empat orang anak muda iaitu Radhi (vokalis), Qi Razali (dram), Ivan (gitar), dan Lam (bass). Perjalanan seni OAG bermula menerusi lagu 60’s TV daripada album sulung mereka pada 1994 dan terus menorak langkah  mencipta nama di arus perdana.

Kemuncak kegemilangan OAG ialah apabila mereka telah mencipta rekod penjualan album Inggeris tempatan paling laku dalam sejarah industri muzik iaitu sebanyak 75,000 unit.

Pada Disember ini kumpulan yang popular menerusi lagu Generasiku ini akan menyambut ulang tahun ke 25 dalam industri muzik tempatan dan semestinya ada persiapan yang menarik dilakukan oleh mereka untuk meraikannya.

Menurut Radhi, bagi sambutan jubli perak OAG, antara usaha yang dirancangkan termasuklah sebuah konsert yang menampilkan semula anggota asal OAG, yang mana semua sedia maklum ahli sering bertukar ganti dek kerana tuntuan kerjaya dan sebagainya.

Mengulas lebih lanjut mengenai konsert tersebut, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali , memberitahu sebenarnya mereka sudah lama merancang untuk membuat reunion tetapi pelbagai faktor yang menghalang kerana semua sibuk dengan kerjaya masing – masing terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Kita sentiasa mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert besar seperti yang dilakukan kumpulan Wings,” jelas Radhi.

“Semua tahu peminat OAG juga sudah semakin dewasa dan ada yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak jadi kami mahu kembalikan semula kenangan OAG sewaktu remaja dahulu,”

Buat masa sekarang OAG masih sibuk membuat showcase – showcase terlebih dahulu antaranya di Brunei, Filipina dan terbaharu di Singapura serta merancang ingin membuat konsert jelajah Asia.

Di samping itu, untuk persiapan konsert tersebut OAG tengah sibuk rakamankan dua buah lagu baru antaranya ‘Ambisi’ dan ‘Sihat Walafiat’.

Mengulas mengenai lagu Ambisi, Radhi berkata lagu tersebut berasal daripada perkataan “Ambition” atau cita – cita dalam Bahasa Melayu yang mana akan menampilkan suatu kelainan dalam lagu mereka. – DIMENSI

 

 

 

 

Artikel Berkaitan