Arte Grande rai 38 anak yatim

Arte Grande bergambar bersama anak-anak yatim Rumah Opah Hasnah Bukit Kuda.Gambar: DIMENSI

Shah Alam: Setiap kali menjelang Ramadhan, syarikat pengurusan acara Arte Grande akan menganjurkan program Konvoi Meniti Raya meraikan anak yatim.

Bertempat di Ruang Event Space Seksyen 16, Shah Alam seramai 38 anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Opah Hasnah bersama-sama menikmati kesyukuran di bulan Ramadhan al Mubarak ini.

Kordinator Kelab Arte Grande, Mohd Johan Norman, 31, berkata program ini merupakan tahun ke-7 mereka bersama golongan yang kurang bernasib baik bagi merasai nikmat bulan yang penuh keberkatan ini.

“Kita bersama anak yatim dari awal pagi bersahur bersama dan konvoi serta membeli pakaian buat mereka untuk persiapan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi,” kata Johan.

Program ini mendapat tajaan dari pihak Kopi Badang penaja utama, Pusat Pakaian Hari-Hari, PWID Design and Build dan Velocity Motor Show.

Selain menganjurkan acara, Arte Grande juga menyediakan perkhidmatan membekalkan kereta untuk pembikinan filem dan yang terbaru sedang melakukan penggambaran filem Klawangan.

Majlis ini turut dimeriahkan oleh barisan duta-duta kecil artis Kopi Badang seperti Ronnie Hussien, Zur Eda dan Nizam Laksamana dan diiringi gitar akustik oleh Along Exist.

Penghuni Rumah Anak Yatim Opah Hasnah, Nur Arissa Qistina, 10 melahirkan rasa gembira kerana ini merupakan program pertama kali yang disertai olehnya dan mendapat sepasang baju raya.

“Saya rasa teruja kerana dapat berbuka puasa bersama rakan-rakan yang lain dan seronok menyertai konvoi,” tambah Arissa.- DIMENSI

Artikel Berkaitan