Republik Ireland terus kekal rekod tanpa kalah

PEMAIN Republik Ireland, Jon Walters diasak pemain Austria, Sebastian Prodl pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Dublin, semalam. Gambar - EPA

DUBLIN- Jon Walters meledak gol penyamaan lewat permainan untuk membantu Republik Ireland bangkit mengikat Austria 1-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di sini, semalam.

Keputusan itu membolehkan Ireland kekal dengan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan Kumpulan D dan membolehkan mereka mengumpul 12 mata bersama pendahulu, Serbia namun hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Penyerang Stoke City itu menyambut hantaran jauh Robbie Brady dan melepasi kawalan Aleksandar Dragovic sebelum melakukan rembatan ketika perlawanan berbaki lima minit lagi di Stadium Aviva.

Jaringan itu memadam gol pembukaan Austria yang dihasilkan selepas setengah jam perlawanan menerusi rutin sepakan sudut.

Sepakan sudut yang diambil oleh David Alaba singgah di kaki Martin Hinteregger dan pertahanan Augsburg itu tidak berdepan masalah untuk menyudahkan buat gol pembukaan Austria.

Selepas ketinggalan satu gol, skuad bimbingan Martin O’Neill’ terus mengasak dan hampir mengikat kedudukan pada minit ke-80, namun tandukan Kevin Long dikeluarkan daripada atas garisan gol oleh Stefan Lainer.

Walters kemudiannya mengikat kedudukan dan kontroversi tercetus pada minit ke-87 apabila tuan rumah menjangkakan mereka sudah meraih kemenangan pada

perlawanan itu.

Lainer menampan bola ke dalam gawang sendiri selepas diasak Shane Duffy namun pengadil perlawanan, David Fernandez Borbalan tidak membenarkan jaringan itu selepas bola dilihat terkena tangan Duffy terlebih dahulu. -AFP (BERITA HARIAN)

Artikel Berkaitan