Katy Perry mahu berdamai dengan Taylor Swift

Taylor Swift dan Katy Perry

LOS ANGELES: Penyanyi Katy Perry sedia melupakan permusuhan sekian lama dengan saingannya, bintang pop Taylor Swift. Perry menggelar Swift ‘penggubah lagu mengagumkan’ dan berkata kedua-duanya menjadi contoh kekuatan wanita dalam industri muzik.

Namun Swift, 27, masih belum memberi sebarang reaksi kepada salam perdamaian yang dihulurkan Perry semalam dan menamatkan kebencian antara dua penyanyi wanita paling hebat itu.

“Saya sedia lupakan semua. Saya maafkan beliau (Swift) dan saya minta maaf atas segala yang saya lakukan dan berharap perkara sama daripada beliau.

“Saya sayangkannya dan mahukan yang terbaik untuknya. Beliau adalah penggubah lagu mengagumkan,” kata Perry, 32, semalam ketika mempromosikan album barunya, Witness.

Permusuhan mereka, yang bermula sebagai perbalahan mengenai penari latar, menguasai kehidupan peribadi dan profesional kedua-dua penyanyi lebih tiga tahun dan diceritakan dalam lagu masing-masing.

Single Swift pada 2014, ‘Bad Blood’ dipercayai ditujukan kepada Perry. Perry menggambarkan single terbarunya ‘Swish Swish’ yang diterbitkan bulan lalu, sebagai ‘lagu hebat bagi mereka untuk digunakan bila seseorang cuba menjatuhkan atau membuli mereka.’

Kelmarin, Perry berkata beliau berharap kedua-duanya boleh mewakili wanita kuat yang bersatu walaupun ada perbezaan. – Reuters

Artikel Berkaitan