15 pengunjung pusat membeli belah terperangkap 20 minit dalam lif

Seorang anggota Bomba dan Penyelamat mendukung seorang kanak-kanak yang merupakan salah seorang daripada 15 mangsa yang terperangkap di dalam lif di sebuah pusat membeli-belah di Seksyen 14 di sini petang ini.- Foto/Ihsan Bomba dan Penyelamat Gambar - Utusan Online

SHAH ALAM – Kegembiraan 15 pengunjung sebuah pusat membeli belah di Seksyen 14 di sini hari ini untuk membeli barangan sempena Hari Raya Aidilfitri bertukar menjadi saat mencemaskan apabila mereka terperangkap di dalam lif selama lebih 20 minit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, kesemua mangsa berusia lingkungan tiga hingga 48 tahun telah diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada pukul 2.13 petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera digegas ke lokasi kejadian.

“Anggota kita tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian dan mendapati lif itu tersangkut di aras bawah tanah pusat membeli-belah tersebut.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu lif itu sebelum boleh menyelamatkan kesemua mangsa yang terperangkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azmel memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kesemua 15 pengunjung itu dan operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.31 petang. – UTUSAN ONLINE.

Artikel Berkaitan