UNISEL rai anak yatim

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM: Kira-kira 26 anak yatim, asnaf dan tahfiz diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Universiti Selangor (UNISEL) di Pusat Jagaan Anak Yatim/Miskin Ruqaiyah, Kajang, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, majlis itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan mendekatkan universiti berkenaan kepada masyarakat luar sempena Ramadan.

“Kita juga ingin meraikan anak kurang berkemampuan supaya dapat merasai nikmat berpuasa,” katanya.

Majlis anjuran UNISEL menerusi Pejabat Komunikasi Korporat dan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) dimulai dengan bacaan doa selamat, majlis berbuka puasa ringan dan solat maghrib berjemaah.

Selesai solat, mereka dihidangkan dengan pelbagai juadah berbuka antaranya laksa, spaghetti bolognese, ikan bakar, sup tulang serta pelbagai hidangan pencuci mulut.

Selain itu, anak yatim dan asnaf berkenaan turut menerima sumbangan duit raya serta cenderahati daripada UNISEL. – SELANGORKINI

Artikel Berkaitan