498 ‘ulat tiket’ ditahan sepanjang 2017

Anggota SPAD mendapatkan kenyataan dari ulat tiket yang ditahan dalam Ops Parasit di Terminal Bas Sementara Seksyen 13 Shah Alam. Gambar - Berita Harian.

SHAH ALAM: Seramai 498 ‘ulat tiket’ ditahan di seluruh negara oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak awal tahun ini.

Ketua Jabatan Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 106 individu yang ditahan adalah ‘ulat tiket’ yang menjalankan aktiviti mereka di terminal bas sekitar Lembah Klang.

“Hari ini kami menyamar dan menangkap lima ‘ulat tiket’ termasuk warga Indonesia dan Kemboja di Terminal Bas Sementara Seksyen 13, Shah Alam dalam Ops Parasit, di sini.

“Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun, membabitkan tiga wanita dan dua lelaki. Mereka akan terus didakwa pagi esok di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“SPAD kenakan tindakan segera sebagai peringatan kepada pihak yang berniat melakukannya. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Che Hasni berkata, individu yang ditahan didapati menjual tiket pada harga lebih mahal, malah dua kali ganda berbanding harga asal.

“‘Ulat tiket’ yang ditahan ini didapati menjual tiket untuk perjalanan ke Utara dan Selatan tanah air. Saya percaya ramai lagi ‘ulat tiket’ beroperasi di sini tetapi mereka menghilangkan diri buat sementara waktu kerana kami sedang memantau terminal ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi secara rasmi di seluruh negara akan bermula pada 12 Jun ini dan dijalankan dengan lebih agresif, termasuk penyamaran di dalam bas dan rondaan di lebuh raya.

“Tinjauan dan pemeriksaan terhadap terminal bas bermula sejak 1 Jun lalu terutama membabitkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang.

“Pada 12 Jun nanti, kami akan perhebatkan operasi ini sehingga selepas Aidilfitri dengan melakukan lebih banyak operasi seperti menyamar menaiki bas bersama penumpang, ronda di lebuh raya, operasi di terminal, meletak anggota beruniform di dalam bas agar mereka tahu kewujudan kami dan sebagainya.

“Kami mahu ingatkan pengguna agar membeli tiket di kaunter sahaja dan jangan beli daripada ‘ulat tiket’ kerana kadang-kadang bas yang dijanjikan tidak menentu ada atau tidak. Pengusaha pula tidak boleh jual tiket di luar kaunter, selain ia mestilah dicetak khas, bukan menggunakan tulisan tangan,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan