Shah Alam bakal guna bas elektrik

Ahmad Zaharin Mohd. Saad (kanan) bersama tetamu khas menunjukkan isyarat bagus ketika berada dalam bas elektrik yang luas dan selesa dalam sesi turun padang melihat operasi bas elektrik di bandar raya Shah Alam, baru-baru ini. Gambar- Utusan Online

SHAH ALAM – Dalam usaha menjadikan banda raya rendah karbon menjelang tahun 2030 Maj­lis Bandaraya Shah Alam (MBSA) beriltizam untuk menjadikan bas elektrik sebagai kenderaan awam utama di bandar raya ini.

Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad, sasaran tersebut mampu dicapai jika bajet dan prasarana yang mencukupi dapat diwujudkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Sebanyak dua unit bas elektrik telah disediakan oleh pihak MBSA untuk kegunaan orang awam. Penyediaan bas elektrik ini akan menggunakan laluan bermula di Hentian Akhir Bandar (HAB) Seksyen 19 dan melalui kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Seksyen 2, Seksyen 3, dan Seksyen 7.

“Bas elektrik yang mampu memuatkan kapasiti penumpang seramai 67 orang ini adalah bebas halangan serta mesra orang kurang upaya (OKU) selain dilengkapi peralatan keselamatan serta pelbagai kemudahan lain seperti panel LED dan juga Wifi percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan turun padang dengan menaiki bas elektrik mengelilingi pusat bandar Shah Alam bersama pihak media baru-baru ini.

Ahmad Zaharin berkata, beliau berharap kemudahan Wifi digunakan dengan sebaiknya oleh pengguna dan tidak disalahgunakan demi kepentingan peribadi kerana ia adalah kemudahan untuk semua.

Katanya lagi, bas elektrik ter­sebut beroperasi pada setiap hari iaitu Isnin hingga Ahad dari jam 6.00 pagi sehingga 10.00 malam dengan kekerapan setiap 15 minit.

“Perkhidmatan bas elektrik ini adalah selaras dengan usaha pihak MBSA untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma yang mesra alam sekali gus mereali­sa­sikan matlamat Shah Alam Ban­dar Raya Rendah Karbon men­je­lang tahun 2030.

“Bagi tahun 2017, pihak MBSA menyasarkan pengura­ngan pe­lepasan gas karbon sebanyak 3 peratus berdasarkan penanda aras pada tahun 2015 iaitu seba­nyak 31,914.54 tan karbon,” katanya.

Katanya lagi, penyediaan bas elektrik itu juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan secara percuma sekali gus membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), pekerja industri, suri rumah dan warga emas.

Selain dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, perkhidmatan ini juga dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang boleh menyebabkan ke­sesakan lalulintas dan pencemaran alam sekitar.

Pihak MBSA juga telah melancarkan Pengecas Elektrik Kende­raan yang dipasang di tempat letak kereta Bangunan Wisma MBSA, pejabat cawangan MBSA di Kota Kemuning, Setia Alam dan beberapa kawasan lain di sekitar pusat bandar Shah Alam. -UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan