6 tips menghadapi bulan Ramadan

Tadarus Al-Quran antara amalan sunat yang digalakkan kepada umat Islam ketika menjalani ibadah puasa. - Gambar Hiasan

Bulan Ramadan merupakan penghulu segala bulan kini semakin hampir. Bulan yang ke sembilan dalam Kalendar Islam itu adalah antara bulan yang dinanti-nantikan. Kedatangannya disambut dengan rasa syukur, kepergiannya pula disambut dengan kemenangan.

Namun, adakah kita benar-benar sudah bersedia menghadapi bulan Ramadan kali ini? Sebagai seorang Muslim, pastinya terdapat banyak perkara yang perlu dipersiapkan ketika menyambut bulan Ramadan:

Nilai diri sendiri

Fahami rutin seharian, waktu dimana tenaga di tahap yang tertinggi dan terendah, waktu dimana ada perkara atau suruhan yang perlu dilakukan seperti membantu keluarga bersiap untuk pergi kerja, atau apabila sebelum berbuka.

Gunakan tenaga tertinggi (yang selalunya pada selepas Fajar) dengan membaca Al-Quran. Bermula dari sekarang, biasakan diri untuk terus berjaga selepas Fajar supaya tidak menjadi kesukaran apabila tibanya bulan Ramadan.

Bina Stamina

Tingkatkan stamina dengan biasakan diri untuk mengurangkan pengambilan makanan mulai sekarang. Latih diri untuk berasa sedikit lapar setiap hari kerana bulan Ramadan juga memberi peluang untuk umat Islam menghayati kesusahan dan keperitan golongan yang kurang bernasib baik. Selain itu, melakukan senaman ringan juga boleh meningkatkan stamina ketika berpuasa.

Menahan Sabar

Dengan waktu berpuasa yang dirasakan begitu panjang, ada sahaja perkara yang akan menguji tahap kesabaran dalam diri. Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan atau minum malahan ia juga menyuruh umat Islam untuk menahan sabar daripada berkata perkara yang tidak berfaedah.

Zikir dan Doa

Senaraikan doa-doa yang ingin diamalkan sepanjang bulan Ramadan. Sementara menunggu waktu berbuka ataupun ketika menunggu masuknya waktu Isyak, amalkan diri dengan membaca doa atau berzikir untuk mengelakkan diri daripada membuang masa.

Menu Iftar dan Sahur

Rancang menu Ramadan sebelum menghadapinya. Beli dan simpan barang kering yang diperlukan dalam menu seharian. Ini akan membantu dalam menjimatkan masa, tenaga dan duit. Sediakan dan bekukan barang masakan seperti daging atau ayam sekurang-kurangnya 15 hari sebelum Ramadan.

Bersihkan rumah

Lakukan aktiviti pembersihan rumah secara menyeluruh supaya ketika didalam bulan Ramadan, aktiviti pembersihan rumah dapat dikurangkan. Selain itu, rumah yang bersih dan tersusun mampu memberi ketengan jiwa.

Umat Islam seharusnya menjadikan bulan Ramadan sebagai satu peluang untuk mengerjakan amal ibadah untuk mendapat ganjaran pahala. Sebagaimana peringatan Rasulullah; “Banyak orang yang berpuasa namun tidak mendapatkan apa-apa, kecuali lapar dan dahaga.”(HR. Ahmad). Justeru, gunakan masa sebaik mungkin kerana Ramadan hanya ‘singgah’ setahun sekali. – DIMENSI

Artikel Berkaitan