Peniaga bazar Ramadan wajib pamer tanda harga

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM: Peniaga di tapak bazar Ramadan di seluruh Selangor wajib mempamerkan tanda harga bagi setiap barangan dijual.

Ketua Seksyen Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Basarudin Mohiyudin berkata, peniaga ingkar akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh didenda sehingga RM100,000.

“Peraturan ini terpakai kepada semua peniaga termasuk yang menjual kuih-muih, lauk-pauk dan barang makanan lain seperti ikan dan ayam.

“Tidak ada pengecualian diberikan kepada mana-mana peniaga walaupun kebanyakannya hanya berniaga pada bulan Ramadan,” katanya dipetik Bernama.

Beliau dilapor berkata demikian selepas melancarkan Kempen ‘#janganlebihlebih’ peringkat negeri, di Bazar Ramadan Seksyen 13 di sini, semalam.

BAZAR RAMADANBasarudin berkata, KPDNKK sudah melakukan pemeriksaan ke atas 1,831 gerai bazar di 50 lokasi termasuk sekitar Shah Alam, Gombak, Petaling Jaya dan Kuala Selangor, bermula 27 Mei lalu sehingga semalam.

Katanya, seramai 30 peniaga diberikan amaran kerana kegagalan mempamerkan tanda harga sepanjang pemeriksaan dijalankan.

“Kami juga mengedarkan risalah kepada peniaga bazar supaya mematuhi arahan digariskan KPDNKK mengikut Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 berhubung kempen #janganlebihlebih itu.

“Kempen sempena Ramadan ini bertujuan menyedarkan orang awam supaya bersederhana dalam berbelanja serta bijak membuat pilihan,” katanya.- SELANGORKINI

Artikel Berkaitan