Minyak masak kitar semula tiada sijil halal

Gambar Hiasan. Gambar: Sinar Harian

SHAH ALAM – Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah memberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk minyak masak dikitar semula.

Ia susulan tular di media sosial Facebook dan WhatsApp mengenai isu minyak masak jenama Buah Sawit yang dijual kepada pengguna adalah minyak kitar semula dari restoran-restoran bukan Islam.

Minyak ini dikatakan telah diproses semula dan dipasarkan secara meluas, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pengguna terutama orang Islam.

Menerusi satu kenyataan, Jakim menjelaskan minyak masak jenama Buah Sawit keluaran Syarikat Jaburan Sdn Bhd pernah diambil tindakan pada 2016 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Bagaimanapun, status terkini syarikat tersebut adalah dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Sehubungan itu, Jakim amat mengalu-alukan usaha syarikat di luar sana untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk pastikan produk dihasilkan bukan sahaja dijamin halal, malah suci, bersih dan selamat serta mengikut standard serta panduan halal telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Untuk mengetahui produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, pengguna boleh layari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar MyJakim. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan