31 pelajar autisme sertai klinik badminton anjuran Perangsang

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM: Seramai 31 pelajar autisme daripada National Autism Society of Malaysia (NASOM) berpeluang mengikuti klinik badminton yang dikendalikan bekas pemain perseorangan kebangsaan, Jason Wong di Zelka Sports Center, Puchong pada 17 Mei lalu.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, Klinik Badminton itu merupakan sebahagian program ‘Sukan Untuk Semua’ Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif CSR Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

“Program ‘Sukan Untuk Semua’ dianjurkan bertujuan untuk memupuk budaya bersukan serta menggalakkan gaya hidup sihat.

“Selain itu turut menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, warga emas, orang asal, anak yatim serta Orang Kelainan Upaya (OKU) di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan”,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Jelasnya, secara keseluruhan, sebanyak lapan program seumpama ini akan dianjurkan di seluruh Selangor dengan sasaran seramai 750 penyertaan bermula pada Mei hingga Disember 2017.

Katanya Perangsang Selangor membelanjakan dana bernilai RM766,685 bagi sukan badminton dengan melibatkan 1,137 penyertaan di mana 211 daripada mereka adalah di kalangan pelajar orang asal, 82 anak yatim, 51 warga emas, 64 golongan OKU dan selebihnya pelajar beberapa daerah di Selangor sejak 2014 lagi.

Pengurus Program Pembangunan dan Sokongan NASOM, Saffiza Anuar pula berkata, program anjuran Perangsang Selangor itu merupakan satu-satunya program melibatkan sukan badminton untuk pelajar autisme.

“Sememangnya kami mengalu-alukan klinik badminton ini kerana ia merupakan satu-satunya program seumpanya dan kali kedua dianjurkan oleh Perangsang Selangor,” katanya.- SELANGORKINI

Artikel Berkaitan