Macam mana pun mati!

Rose dibawa keluar dari makhamah, semalam. Sumber: Harian Metro

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Kenya yang juga penghidap HIV dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan mengedar 384 gram (g) dadah jenis methampethamine di Hospital Serdang, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Teck Meng memutuskan demikian selepas tertuduh, Rose Achieng Ojala, 40, didapati bersalah atas pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.

Terdahulu, ibu tunggal kepada tiga anak itu terpaksa dibawa dengan kerusi roda selepas pitam dan rebah sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Rose yang juga pesakit kanser rahim didakwa mengedar dadah methampethamine seberat 384.7g di Hospital Serdang antara jam 3.50 pagi 30 November 2013 hingga jam 11.40 malam 8 Disember tahun sama.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjalani pemeriksaan lanjut selepas dilihat mencurigakan kerana berpeluh dan gelisah.

Hasil pemeriksaan kemudian menemui tiga ketulan dadah di dalam seluar dalam tertuduh yang turut mendakwa dia mengandung sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Ia membawa kepada penemuan 68 lagi ketulan dadah yang ditelan oleh Rose dan ia dikeluarkan secara berperingkat dengan cara membuang air besar.

Peguam bela Suzanawati Ismail yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya mempunyai tiga anak berusia empat hingga 15 tahun dan menjalani rawatan di Hospital Kajang atas pelbagai penyakit kronik termasuk kanser rahim dan HIV.

Wong dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan keseluruhan hujahan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Kamu didapati bersalah dan tiada hukuman lain mengikut Seksyen 39 B kecuali hukuman mati. Justeru, kamu diperintahkan digantung sehingga mati,” katanya.

Dalam prosiding itu, Rose yang kelihatan lemah turut dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun atas pertuduhan memiliki tiga ketulan dadah seberat 20.7 g di Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan KLIA, kira-kira jam 7.30 malam, 29 November tahun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhana Ahmad dan seramai 18 saksi dipanggil dalam kes perbicaraan itu.- HARIAN METRO

Artikel Berkaitan