Rezeki “Pertama Kali”

Nama Shaa bukan lagi asing di corong radio.

SHAH ALAM- Memiliki perwatakan yang ‘sempoi’ dan membawakan imej rock membuatkan dirinya begitu disenangi ramai dan mudah untuk didekati.

Pertama kali bertemu, Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari tidak kekok mengukir senyuman dan ‘rempang’ melayan peminatnya ketika ditemui di Hari Terbuka UNISEL 2017 di sini.

Shaa yang popular menerusi lagu ‘Pertama Kali’, akui terkejut dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu tersebut, malah tidak sangka ianya menjadi tontonan netizen lebih dua juta kali di Youtube.

Menurut vokalis kumpulan Darulaman Buskers ini, beliau berbesar hati dan berterima kasih kepada peminatnya yang menyokong lagu Pertama Kali yang dicipta olehnya sendiri sewaktu zaman sekolah lagi.

Mengulas lebih lanjut mengenai lagu Pertama Kali, gadis kelahiran Kedah ini memberitahu lagu tersebut hasil nukilannya ketika belajar di Tingkatan Tiga, sewaktu di perpustakaan sekolah.

“Biasalah zaman muda remaja, kita tak terlepas daripada alami cinta monyet jadi saya mendapat ilham menulis lagu Pertama Kali lalu saya rakam sekadar suka – suka bersama rakan dan mereka muat naik ke laman YouTube,” katanya kepada DIMENSI.

Shaa tidak menyangka rakaman lagu itu yang dinyanyikan sekadar suka-suka mendapat perhatian ramai dan diberikan peluang untuk merakamkan lagu tersebut secara profesional hasil usaha Nova Muzik.

Sebelum menjadi penyanyi, anak bongsu daripada enam beradik ini  adalah penyanyi sepenuh masa bersama Darulaman Buskers dan aktif membuat persembahan sekitar Alor Setar, Kedah.

Selain menyanyi juga sering membantu ibu bapanya berniaga menjual ayam percik, laksa dan juga cucur udang di sekitar bandar.

Ayam perciknya sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung yang datang di bazar Ramadan di Kuala Kedah dan juga Alor Setar.

Sebagai pendatang baru dalam industri, Shaa berharap agar orang ramai boleh menerima kehadirannya serta terus menyokong kariernya sebagai penyanyi. – DIMENSI

 

Artikel Berkaitan