Ismail Izzani selesa belajar di rumah

Ismail Izzani kini selesa belajar di rumah.

SHAH ALAM- Usianya baru menjangkau 17 tahun, namun bakat yang dimiliki oleh Ismail Izzani cukup besar hinggakan singlenya yang berjudul ‘Sabar’ menular di corong–corong radio tempatan.

Ismail Izzani atau nama sebenarnya Nur Ismail Izzani Bin Zainal Nazeri, 17, mengakui popularitinya kian melonjak naik setelah lagu ‘Sabar’ yang telah mencecah hampir tujuh juta tontonan di Youtube sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Ismail yang bakal menduduki peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berkata, ini bukanlah penghalang untuknya memberikan fokus dalam bidang nyanyian serta dalam pelajaran juga.

Beliau yang kini sedang giat aktif belajar dari rumah (home schooling) sejak tahun lepas lagi kelihatan janggal pada awalnya belajar dari rumah tetapi lama kelamaan menjadi semakin selesa belajar bersama guru peribadinya.

“Mula – mula memang susah nak bahagikan masa antara belajar dan menyanyi, tapi sejak saya mengambil inisiatif untuk melakukan home schooling masa saya kini lebih fleksible dan boleh melakukan kedua – duanya sekali pada masa yang sama”

Menariknya, anak bongsu kepada Datin Suliza Salam yang juga bekas penyanyi era 1980an, beliau memilih untuk meneruskan home schooling ini kerana bimbang jika terus belajar di sekolah biasa, beliau tidak dapat memberi komitmen kerana kesibukan jadual nyanyian.

Ismail menganggap populariti yang dimiliki ibunya bukanlah tiket untuknya menempa nama dalam persada seni, malah bakat yang ditonjol dalam bidang nyanyian itulah membuatkan dirinya dikenali kini.

Kehadiran artis – artis baharu seperti Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Haqiem Rusli dan ramai lagi, Ismail melihat ianya suatu perkembangan yang positif dan memeriahkan persada seni tanah air.

“Media sosial banyak membantu saya dan artis-artis baharu ingin menceburkan diri dalam bidang nyanyian ataupun lakonan, malah ini merupakan medium untuk syarikat-syarikat rakaman mencari artis baru di bawah naungan mereka.

Ismail yang kini bernaung di bawah syarikat World Peace Entertainment berkata, dia bakal melancarkan sebuah lagu duet bersama Siti Nordiana dan dua artis Indonesia iaitu Fatin dan Rezki Febian bersempena Aidilfitri berjudul ‘Raya Nusantara’.

Ismail berharap agar peminatnya terus menyokong kariernya sebagai artis baharu dan terus menyokong industri muzik tempatan. –DIMENSI

Artikel Berkaitan