Lima ciri graduan perlu ada untuk minta kerja

Wacana Sinar Harian Siri ke-47 dengan membawa tajuk “Graduan Menganggur: Sampai bila?” di Pentas Utama, Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7, di sini, hari ini. Gambar- Sinar Harian

SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif Future Forest Sdn Bhd, Safina Yaakob menyenaraikan lima ciri sempurna yang perlu ada pada graduan sebelum memohon pekerjaan.

Menurutnya, ciri pertama yang perlu ada adalah penguasaan pelbagai kemahiran oleh seseorang graduan.

“Maksudnya boleh ke depan dan ke belakang dalam tugasan. Boleh membantu dan boleh disuruh.

“Ciri kedua adalah kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik. Sekarang ini email minta kerja daripada graduan pun kami yang kena betulkan,” katanya menerusi Wacana Sinar Harian Siri ke-47 dengan membawa tajuk “Graduan Menganggur: Sampai bila?” di Pentas Utama, Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7, di sini, hari ini.

Safina berkata, ciri ketiga adalah kekemasan diri pada seseorang graduan.

“Semua kena tahu apa yang patut dipakai dalam dunia korporat. Tinggalkan dunia kebudak-budakan. Ciri keempat, graduan perlu tahu susun atur organisasi dalam sesebuah syarikat. Semuanya tentang etika,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, ciri terakhir adalah graduan perlu tahu maklumat penuh tentang sesebuah syarikat.

“Kadang-kadang ada graduan yang datang minta kerja tapi langsung tidak tahu maklumat mengenai syarikat tersebut,” katanya lagi. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan