eMAS bangun bakat muda sepaktakraw tempatan

Antara aksi peserta-peserta dalam Kejohanan Sepaktakraw Bakat Baru dan Remaja Satu Malaysia. Gambar- Dimensi

SHAH ALAM- Sedar dengan ketandusan bakat tempatan berwibawa, Kelab Sepaktakraw eMAS mengambil langkah proaktif memperkenalkan program pembangunan bakat peringkat akar umbi bagi mengenalpasti pemain pelapis yang berpotensi mewakili negara pada masa akan datang.

Presidennya, Yaacob Ibrahim berkata pencarian bakat muda tersebut perlu dimulakan sejak dibangku sekolah kerana mereka lebih senang dilentur.

“Hal ini kerana jati diri, teknik permainan, kawalan gelanggang dan ketahanan mental lebih mudah dibentuk pada usia berkenaan,” jelasnya.

eMas ditubuhkan pada 2012 ilham daripada Kelab Sepaktakraw Malaysia Airlines (MAS) yang diwakili kakitangan syarikat penerbangan tersebut pada peringkat awal penubuhannya.

Kelab tersebut pernah mengadakan demonstrasi dan mengambil bahagian dalam kejohanan sepaktakraw di Switzerland, German, Perancis, Belgium, London, San Francisco dan Las Vegas.

Mereka juga sering dijemput untuk mengadakan klinik atau pertunjukan sepaktakraw di sekolah-sekolah dan universiti di luar negara.

Tambah Yaacob lagi, eMAS merancang untuk bekerjasama dengan beberapa bekas pemain kebangsaan di Selangor untuk melatih pelajar-pelajar sekolah di sekitar negeri itu.

“Kalau diizinkan Allah, kami merancang untuk mengadakan Liga Anak-anak Selangor atau Remaja Satu Malaysia kategori bawah 11 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun dalam masa terdekat,” jelasnya.

Terbaru, eMAS menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Bakat Baru dan Remaja Satu Malaysia dengan kerjasama UiTM Shah Alam pada 15 dan 16 April lalu. – DIMENSI

Artikel Berkaitan