Tertuduh pertama, Leftenan Kolonel (B) Kamal Baharin Nali, 48, didakwa atas tuduhan memperoleh suapan berkenaan daripada Ab. Rahim Ghalim melalui seorang individu, Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman, 45.

Sementara itu, tertuduh kedua, Kapten (B) Fadzil Noor Alias, 38, didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Kamal Baharin menerima suapan tersebut yang diperoleh dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Berhad.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Sementara itu, Hakim Rozilah Salleh menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh masing-masing dengan seorang penjamin selain menetapkan 16 Jun ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE