Kongres budaya dan rukun negara

Malaysia. Gambar: Google.

DUA daripada 11 resolusi yang diterima Kongres Budaya 2017 merujuk kepada Rukun Negara. Resolusi ketiga berbunyi, “Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Bahasa Kebangsaan difahami dan dimuliakan”, manakala resolusi keempat menyatakan, “Rukun Negara dan kenegaraan diteraskan melalui kuasa perundangan.” Antara dua resolusi ini, resolusi keempat adalah yang amat signifikan.

Setakat ini Rukun Negara yang diisytiharkan DYMM Yang di-Pertuan Agong yang keempat pada 31 Ogos 1970 sebagai falsafah kebangsaan tidak diberi taraf perundangan. Tetapi taraf perundangan itu penting untuk memastikan bahawa lima cita-cita dan lima prinsip Rukun Negara memiliki kedudukan tertentu dalam konsepsi tentang identiti dan destinasi negara Malaysia yang tercinta ini. Cita-cita dan prinsip Rukun Negara sepatutnya dianggap sebagai pegangan bersama rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Apakah kaedah yang paling berkesan untuk menaikkan taraf Rukun Negara? Cara yang lebih baik adalah menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama negara, Rukun Negara sebagai mukadimah, secara automatik, akan mencapai satu status tersendiri, bukan seperti undang-undang biasa lain yang dikuatkuasakan melalui sistem mahkamah.

Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan (Preamble to the Constitution), akan menjadi satu pedoman, panduan atau alat kompas yang menentukan hala tuju negara. Inilah peranan mukadimah kepada perlembagaan kebanyakan negara.

Untuk meyakinkan semua pihak, penganjur dan penyokong inisiatif untuk menjadikan Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan (RMP) ingin mencadangkan bahawa dalam proses meminda Perlembagaan Persekutuan, dewan Parlimen yang mulia kita harus memasukkan satu fasal yang menyatakan bahawa mukadimah tidak boleh digunakan untuk mengusik mana-mana peruntukan perlembagaan, khususnya tentang perkara-perkara mengenai: kedudukan Raja-raja Melayu; kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal serta peranan bahasa-bahasa lain; kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum yang lain dan kewarganegaraan.

Sejak 1971, peruntukan-peruntukan perlembagaan ini tidak boleh dipinda oleh Parlimen tanpa persetujuan dan rujukan kepada Majlis Raja-Raja dan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindunginya. Rukun Negara sebagai mukadimah juga tidak akan menyentuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak kaum bukan Islam untuk menganuti agama masing-masing. Tambahan pula, Rukun Negara sendiri melalui prinsip ketiganya mempertahankan keluhuran Perlembagaan.

Ini bermakna bahawa menjadikan Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan tidak akan mengganggu-gugat asas-asas kenegaraan yang sekian lama menjamin keharmonian masyarakat Malaysia. Ia hanya akan menjelaskan hala tuju negara kita, iaitu, untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak; dan membina satu masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden. Untuk mencapai cita-cita ini, Rukun Negara menggubal lima prinsip, iaitu, kepercayaan kepada Tuhan; kesetiaan kepada Raja dan Negara; keluhuran Perlembagaan; kedaulatan Undang-Undang; dan kesopanan dan kesusilaan.

Cita-cita dan prinsip-prinsip ini bukan asing pada negara kita. Sejak merdeka ia merupakan sebahagian penting daripada usaha pemerintah dan masyarakat kita untuk menentukan kesejahteraan rakyat.

Mengangkat falsafah nasional kita ke tahap mukadimah Perlembagaan akan menggalakkan mereka yang berkuasa dan berpengaruh dalam sektor awam dan sektor swasta menggubal lebih banyak dasar-dasar yang mencerminkan cita-cita Rukun Negara. Dasar-dasar ini harus dilaksanakan dengan baik. Ciri yang paling penting dalam pelaksanaannya ialah keikhlasan.

Melaksanakan Rukun Negara dengan ikhlas harus menjadi ikrar semua pihak pada 2017 – genap 60 tahun Malaysia Merdeka. Inilah cara yang paling baik untuk mengingati legasi Allahyarham Tun Abdul Razak. Rukun Negara adalah antara sumbangan besar negarawan tersohor itu.

Menjadikan Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan negara kita adalah satu langkah kecil yang boleh diambil generasi semasa untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau. -SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan