Jantung hijau Bogota

Tumbuhan bukan sekadar mencantikkan bangunan tetapi mampu mengahsilkan oksigen, manpis gas berbahaya dan memerangkap habuk. Gambar- Harian Metro

Edificio Santalaia, sebuah bangunan yang dilitupi tumbuh-tumbuhan di tengah Bogota, Colombia, dianggap antara taman bandar yang paling menakjubkan pernah direka.

Dengan lebih 3,100 meter persegi tumbuhan yang meliputi bangunan 11 tingkat itu, menjadikannya taman vertikal terbesar di dunia.

Hasil kolaborasi antara pereka hijau Sepanyol, Paisajismo Urbano dan syarikat Colombia, Groncol, taman vertikal yang menakjubkan ini siap dibina pada Disember 2015 selepas perancangan selama lapan bulan dan lapan bulan lagi kerja keras untuk menghasilkannya.

Hari ini, ia sering dianggap sebagai ‘jantung hijau Bogota’ dan sebagai ikon kesinambungan serta peringatan mengenai peranan penting tumbuhan terhadap kehidupan seharian kita.

Taman vertikal terbesar di dunia itu terdiri daripada 115,000 tumbuhan daripada 10 spesies dan lima keluarga berbeza yang dipilih oleh Ignacio Solano, ketua syarikat Paisajismo Urbano dan pasukannya ketika mengadakan ekspedisi di hutan hujan Choco, di Colombia.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum rancangan itu dijalankan, seperti cara tumbuhan itu berinteraksi dan mencapai cakupan monokromatik keseluruhan bangunan.

“Pemilihan spesies sangat penting untuk taman jenis ini, kerana kepelbagaian bio dalam ekosistem vertikal membolehkan interaksi antara spesies yang membentuk tumbuhan dan mikroorganisma.

“Permukaan yang luas adalah masalah tambahan berbanding taman vertikal lain kerana membabitkan penggunaan lebih banyak tumbuhan,” kata Solano.

Namun, cabaran paling besar dihadapi Solano dan rakannya adalah sistem pengairan yang diperlukan bagi memastikan tumbuhan itu kekal hidup.

Mereka akhirnya menemui idea untuk menggunakan sistem yang dipatenkan terdiri daripada lebih 40 sektor pengairan secara automatik dikawal selia mengikut kelembapan dan radiasi solar.

Sistem itu turut direka untuk mengitar semula semua sisa air mengalir melalui dinding, termasuk yang dihasilkan penghuni bangunan.

Mewujudkan taman vertikal yang menakjubkan ini bukan sekadar mengenai estetika tetapi mempunyai tujuan yang lebih besar.

“Taman vertikal sebesar ini mampu menghasilkan oksigen yang diperlukan lebih 3,100 orang setahun, selain mampu memproses kira-kira 775 kilogram (kg) logam berat, menapis lebih 2,000 tan gas berbahaya dan memerangkap lebih 400kg habuk,” menurut laman web syarikat berkenaan.

Tumbuh-tumbuhan yang subur juga berfungsi sebagai penebat semula jadi untuk bangunan, menurunkan suhu di dalam rumah ketika musim panas dan mengurangkan penggunaan penyaman udara. -HARIAN METRO

Artikel Berkaitan