Graduan perlu mahir pelbagai bidang

Abdul Jalil diwawancara Nurafiza Abu Bakar di konti UFM 93.6 FM di UiTM , Shah Alam. Sumber: Harian Metro

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid menasihatkan penuntut institusi pengajian tinggi supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa sekiranya mahu berjaya dalam kehidupan.

Abdul Jalil berkata, dalam zaman teknologi maklumat, mereka tidak boleh terikat atau terkongkong dengan satu bidang sahaja sebaliknya perlu didedahkan dengan bidang lain.

Katanya, untuk melahirkan graduan yang cemerlang dan mendapat tempat dalam industri, pihak universiti seharusnya menyesuaikan aspek kurikulum dengan peredaran semasa.

“Perkara ini penting bagi menyiapkan graduan untuk pergi ke fasa pekerjaan.

“Penuntut perlu cuba budaya atau perkara baru dan berusaha untuk mencapai matlamat. Kena betul-betul fokus dan faham bagaimana situasi kita sekarang,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan MARA Level 13 menerusi siaran Radio UFM 93.6 Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Dalam rancangan selama 60 minit yang dikendalikan deejay Nurafiza Abu Bakar, Abdul Jalil yang juga Presiden Alumni Masscomm UiTM itu turut berkongsi pengalaman bekerja sebagai wartawan selama 30 tahun.

Pada masa sama, beliau juga mengimbas kembali kenangan ketika menjadi pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, selain menjawab beberapa soalan daripada penuntut selepas selesai rancangan berkenaan.- HARIAN METRO

Artikel Berkaitan