Operasi pembersihan dalam PDRM akan diteruskan

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan sempena Program Universiti Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman. Sumber: Berita Harian

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembersihan serta menangkap pegawai dan anggota polis yang menerima rasuah akan terus dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan mereka yang dianggap seperti ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ itu ditangkap serta menerima hukuman.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, semua Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis.

“Kita tahu semua ‘pegar’ ini beri maklumat operasi polis. Kita menghidu semua perkara ini.

“Petang semalam pun saya ada berjumpa dengan Ketua Polis Melaka. Kita tidak akan lindungi sesiapa pun walaupun mereka yang ditahan mendakwa kononnya dianiaya, digunakan atau dipaksa (mengambil rasuah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Timbalan Perdana Menteri bersama warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, isu rasuah menyebabkan persepsi rakyat terhadap imej polis tidak berubah.

“Disebabkan sikap seperti enam orang polis di Melaka yang ditahan kerana rasuah inilah menyebabkan rosak susu sebelanga,” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan